Otaku Turun Padang Ke Comic Fiesta 2018; Suasana Yang Sesak Dan Meriah Dari Sambutan Pengunjung

Comic Fiesta 2018 telah masuk hari ke-2 dan hari terakhir penganjurannya pada hari ini. Berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), acara ini dibanjiri ribuan otaku di Malaysia yang ingin melihat sendiri kehangatan industri anime dan manga dengan lebih dekat. Pelbagai organisasi dan selebriti dari dalam dan luar negara menyertai Comic Fiesta tahun ini.

Tidak dilupakan, pemain cosplay membantu memberikan suasana ceria dan meriah sepanjang pengunjung berada di sini. Pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya adalah berpeluang bertemu dengan cosplayer terkenal seperti Pion dan HaneAme, sesi bertemu dengan artis manga dan juga menyertai pertandingan seperti PUBG Mobile, CS:GO Tekken 7, COD, Street Fighter V dan Contra: Return.

Ruangan pameran pula memperlihatkan hasil seni pelukis memukau mata pengunjung dengan koleksi hasil seni mereka. Institusi pengajian tinggi swasta juga turut sama dalam pameran dan menawarkan jurusan yang berkaitan dengan animasi, dan juga permainan video untuk mereka yang sedang mencari peluang belajar dalam jurusan yang tertentu.

Untuk gerai jualan pula, pelbagai barangan bertemakan manga dan anime turut dijual oleh peniaga di sini. Harga yang ditawarkan pula tidak keterlaluan. Comic Fiesta akan melabuhkan tirainya pada hari ini pada pukul 9 malam.