OPPO Reno3 Pro Diperkenalkan, Sokongan 5G Dan Paparan 90Hz

Berbaki kurang seminggu sahaja lagi sebelum menutup tirai 2019, OPPO sekali kali lagi tampil mengemaskini penawaran siri RENO mereka. Ia merupakan pelancaran kali ketiga model Reno pada tahun ini setelah kali pertama diperkenalkan pada April yang lalu.

Seperti biasa, ditawarkan untuk pasaran China terlebih dahulu, ia hadir dengan dua model iaitu OPPO Reno3 dan OPPO Reno3 Pro. Kedua-duanya akan menyediakan sokongan 5G.

OPPO Reno3 Pro

Versi pro Reno generasi ketiga ini dilengkapi dengan skrin melengkung AMOLED 6.5 inci bersama kadar penyegaran 90Hz. Menyokong resolusi HDR10+, OPPO Reno3 turut mempunyai kadar pengesanan sentuhan 180Hz yang menjanjikan pengalaman terbaik dalam permainan mudah alih. Terdapat juga rekaan lubang pada bucu kiri skrin paparan yang menempatkan kamera swafoto 32MP.



Bahagian belakang peranti pula sistem empat kamera terdiri daripada kamera utama 48MP, 8MP ultra lebar, 2MP monokrom dan 13MP telefoto. Dari segi janaan kuasa, bateri 4025mAh dibekalkan dengan daya pengecasan pantas VOOC 4.0 30W.



Menguasakan peranti dari dalam adalah cip pemproses Snapdragon 765G bergandingan dengan RAM8GB/12GB serta storan 128GB/256GB.

Lain-lain ciri yang boleh didapati pada OPPO Reno3 Pro adalah sistem antaramuka ColorOS 7 berasaskan Android 10, empat pilihan warna (Black, Starry Night Blue, Sunrise dan White).

Terdapat juga sebuah edisi khas dipanggil sebagai OPPO Reno 3 Pantone 2020 yang tampil dengan warna Classic Blue. Tiada perbezaan pada spesifikasi tetapi aksesori yang tersedia dengan hadir kemasan warna sama.



OPPO Reno3

Sebuah lagi peranti iaitu OPPO Reno3 pula lengkap dipasang dengan paparan 6.44 inci AMOLED tetapi mempunyai rekaan takuk yang diisi dengan kamera 32MP. Bahagian belakang juga sedikit berbeza dimana kuad kamera dibarisi lensa utama 64MP, 8MP ultra lebar, lensa monokrom dan potret.



Menguasakan peranti pula adalah cip MediaTek 1000L dipadankan bersama konfigurasi memori RAM 8GB/12GB dan serta storan 128GB/256GB. Turut dioperasikan dengan Android 10 dilapisi ColorOS 7, kapasiti serta kuasa pengecasan juga sama seperti versi Pro.

Lain-lain persamaan antara kedua-dua versi adalah perlindungan Corning Gorilla Glass 5, imbasan cap jari pada paparan dan ciri NFC multifungsi.

Harga jualan bagi versi Pro bermula dari 3999 yuan (~RM2361) sehingga 4,499 yuan (~RM2656). Edisi Classic Blue pula diletakkan pada nilai 4199 yuan (~RM2480) sementara OPPO Reno 3 berharga dari 3399 yuan (~RM2007) sehingga 3699 yuan (~RM2184).