OPPO Reno3 Mungkin Tampil Dengan Skrin 90Hz Dan RAM 12GB

Belumpun sempat 2019 melabuhkan tirai, siri Reno sekali kedengaran dengan informasi awal mengenai spesifikasi yang bakal dibawa. Dimulakan dengan perkongsian daripada Naib Presiden OPPO, Shen Yiren yang mengacah OPPO Reno3 Pro 5G. Ia bakal dilengkapi dengan skrin paparan melengkung disisi, binaan kaca dengan ketebalan 7.7mm serta menyokong dwi mod 5G.





Perkhabaran sebelum ini juga ada meramalkan penggunaan rekaan punch hole bagi menempatkan kamera swafoto peranti. Seperti imej diatas, bucu paparan disebelah kiri tidak kelihatan dan ia seolah-olah mengeyakan spekulasi tersebut. Seperkara lagi yang telah disahkan adalah bateri berkapasiti 4025mAh akan menjana Reno3 Pro 5G.

Khabar angin terbaru


Terbaru, satu sumber di Weibo telah mendedahkan spesifikasi lebih lanjut siri Reno tersebut. Bahagian hadapan peranti akan dipasang dengan skrin OLED berukuran 6.5 inci yang menyokong resolusi FHD+ serta kadar penyegaran 90Hz.

Reno3 Pro 5G

Selain itu, disebutkan juga cip pemprosesan Snapdragon 765G akan digunapakai bersama gandingan RAM 12GB. Ini menjadikan ia peranti kedua yang menggunakan cip terbaru itu selepas Redmi K30 5G. Ruang storan pula dijangka disediakan pada kapasiti 256GB dan berkemungkinan terdapat variasi RAM 8GB beserta 128GB memori.

Bahagian kamera belakang pula bakal menampilkan kuad kamera terdiri daripada lensa 48MP, 8MP telefoto, 13MP sudut lebar dan 2MP bokeh. Dikatakan juga ciri penstabilan imej optikal akan disertakan pada salah satu lensa kamera belakang.

Bagi pengecasan pantas, ia akan disediakan dengan teknologi VOOC 4.0 Flash Charge 30W. Melihat kepada khabar angin spesifikasi ini, Reno3 Pro 5G mungkin akan bersaing dengan Redmi K30 5G dalam pasaran pertengahan. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan dan kita perlu menanti pengumuman rasmi untuk kedua-duanya bagi melihat peranti mana yang lebih berkuasa. Buat masa sekarang masih belum dipastikan bilakah OPPO Reno3 Pro 5G akan membuat kemunculan.

Sumber: Weibo