CFM Adakan Kaji Selidik Bagi Proses Pindaan Kod Amalan Am Pengguna Untuk Industri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau lebih dikenali sebagai CFM dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kini sedang menjalankan satu kaji selidik.

Kaji selidik ini adalah bertujuan sebagai langkah akhir dalam proses pindaan Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau GCC. Ia akan dijalankan selama 45 hari bermula 3 Mac 2020 sehingga 16 April 2020.

Secara ringkas, GCC adalah kod industri sukarela (voluntary industry code) didaftarkan pada tahun 2003 oleh pihak MCMC yang berfungsi sebagai garis panduan dan penanda aras untuk penyedia-penyedia perkhidmatan (service providers) dalam menyediakan perkhidmatan komunikasi dan multimedia kepada pengguna.

GCC sebelum ini telah melalui proses pindaan selari dengan perkembangan semasa industri. Justeru, proses perundingan awam ini dilaksanakan sebagai langkah terakhir pindaan sebelum pendaftaran versi terkini GCC oleh pihak MCMC.

Ini adalah untuk memastikan pandangan kelompok awam (terutamanya pengguna) telah dirujuk dengan sewajarnya dalam penyediaan GCC versi baharu.

Fokus utama perundingan awam ini adalah meliputi lima (5) topik berikut:

  1.  Perlindungan khusus untuk pengguna-pengguna yang mempunyai keperluan istimewa (special needs)

  2. Maklumat wajib berkenaan langganan melalui pengebilan langsung (direct carrier billing)

  3. Perihal pengemaskinian terma dan syarat kontrak perkhidmatan (renewal of service contract terms and conditions)

  4. Perkhidmatan perayauan antarabangsa (international roaming)

  5. Klasifikasi aduan bersifat ringkas (simple) dan rumit (complex)


Anda semua digalakkan untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik ini dimana ia akan memastikan GCC versi 2020 mengambil kira keperluan dan situasi semasa pengguna di Malaysia.

Orang awam boleh memberikan maklum balas melalui langkah-langkah berikut:

  1. Menghantar e-mel kepada [email protected]; atau

  2. Mengisi borang atas talian pada https://bit.ly/2020GCCPublicConsultation