Siri OPPO Reno7 sebelum ini telah pun dilancarkan di China Disember 2021 lalu. Untuk pengguna di Malaysia, usah gusar memandangkan siri ini turut akan dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi.
Kami di Wiser telah berkesempatan untuk bermain-main dengan 2 telefon dalam siri ini iaitu Reno7 serta Reno7 Pro. Tetapi buat masa ini kami belum boleh berkongsi kepada umum spesifikasi kedua-dua telefon. Apa yang kami boleh kongsikan adalah rekaan dan juga sampel gambar mereka. Pun begitu, jangan risau akan tetap ada ulasan penuh dari kami mengenai kedua-dua telefon selesai pelancaran rasminya tidak lama lagi.
OPPO Reno7 Pro
OPPO Reno7 Pro adalah merupakan varian premium dalam siri Reno7. Baik dari segi bahan binaan dan juga rupawan, ia menyerlahkan sisi status bangsawannya dalam siri Reno terbaharu itu.
Tahun ini, Reno7 Pro menggunakan rekaan yang boleh dikatakan serba baharu dengan sisi rata serta modul kamera berbeza dari Reno6 Pro tahun lepas. Jika diikutkan pada siri Reno6 tahun lepas pun sudah ada rekaan sisi rata, namun ia tidak disertakan pada Reno6 Pro, sebaliknya Reno6 biasa sahaja.
Dengan sisi rata bersama-sama binaan aluminium dan panel kaca, Reno7 Pro terasa premium di tangan ditambah lagi dengan profil telefon yang nipis dan ringan.
Melalui warna Startrails Black Reno7 Pro yang kami terima, sekilas pandang ia dilihat sebagai kesinambungan kemasan warna yang terdapat pada Reno6 dan Reno6 Z tahun lepas.
Kemasan ini mempunyai kerlipan bintang dengan efek spotlight yang juga mempunyai sentuhan matte. Sesungguhnya tidak dinafikan ia memang lawa dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Panel belakang ini juga sebenarnya langsung tidak menampakkan cap jari memberikan pengalaman menyentuh tanpa risau kotoran serta minyak yang ada pada jari pengguna.
Pada bahagian bawah, terdapatnya teks OPPO yang direka seperti ukiran memperlihatkan kontras antara teks dan juga permukaan kawasan lain.
Bahagian modul kamera Reno7 Pro juga mempunyai ‘nafas’ baharu. Ia kini direka lebih berani dengan ruang modul kamera lebih petak dan juga besar berbanding siri Reno6 tahun lepas.
Namun, apa yang lebih menarik adalah kali ini Reno7 Pro ada muslihat menarik tersembunyi.
Pada lingkaran modul kamera, ia sebenarnya mempunyai ciri pencahayaan yang digelar oleh OPPO sebagai breathing light.
Hanya bertujuan sebagai estatik dan tidak ubah seperti pencahayaan RGB pada telefon gaming, ciri ini menyala secara lalai apabila pengguna mengecas telefon pintar. Namun, pengguna juga mempunyai pilihan untuk turut menghidupkannya apabila menerima notifikasi, menerima panggilan, dan juga membuka permainan.
Cumanya, berlainan dengan telefon gaming, Breathing Light ini hanya mempunyai warna biru sahaja dan pengguna tiada pilihan untuk menukar kepada warna lain.
Kesimpulannya, seperti mana generasi-generasi Reno sebelum ini, tema aestatik telah menjadi kekuatan utama telefon. OPPO tahu mereka sememangnya berbakat dalam menghasilkan telefon yang kemas dan cantik. Dengan Reno7 Pro, pengenalan ciri Breathing Light ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi kekuatan tema aestatik mereka.
OPPO Reno7
Variasi lebih ‘kecil’, namun masih bernaung dalam siri yang sama, Reno7 adalah model lebih mampu milik untuk pilihan pengguna.
Pada Reno7 sebenarnya OPPO menggunakan pendekatan berbeza dengan Reno7 Pro.
Yang mana besi/kaca diganti plastik, yang mana rata diganti lengkung. Memang kenalah dengan nama ‘mampu milik’, Reno7 hanya menggunakan binaan plastik baik bingkai sisi mahupun panel belakang. Tiada sudah sisi rata sebaliknya alur lengkung tradisional yang sering dilihat pada kebanyakan telefon.
Namun begitu, OPPO masih mahukan unsur ‘lawa’ mereka tetap wujud pada Reno7.
Walau plastik meliputi, dihambur juga garis-garis serong dengan gradien warna pelangi memeriahkan panel belakangnya.
Saya jika diikutkan bukanlah penggemar kemasan warna pelangi secara umum kerana rata-ratanya menjolok mata. Namun Reno7 ini mempunyai warna pelangi yang lembut dan tidak terlalu menonjol. Ringkas kata, “just nice”.
Unsur adik-beradik turut ditiru daripada Reno7 Pro melalui modul kamera yang besar dan petak. Namun sudah namanya model bukan utama, tiada ciri Breathing Light di sini. Yang itu hanya khusus untuk abang besar sahaja.
Keseluruhan, Reno7 masih lagi merupakan telefon yang cantik dan menawan. Cumanya, binaan plastiknya mungkin ada yang memandang enteng berikutan hanay telefon bajet sahaja yang menggunakan bahan binaan sebegini. Mudahnya, jika mahukan telefon cantik namun rendah bajet, Reno7 mampu penuhi keinginan anda.
Sampel Gambar OPPO Reno7 Pro dan Reno7
OPPO Reno7 Pro
OPPO Reno7
Rumusan
Begitulah sahaja perkongsian tentang OPPO Reno7 dan Reno7 Pro. Menurut wakil dari OPPO, hanya 2 model ini sahaja yang akan menerpa pengguna di sini berbanding 3 model di pasaran China. Demikian nantikan ulasan penuh mengenai kedua-duanya nanti dari kami.