Oppo F9 Bakal Diperkenalkan Di Malaysia Pada 16 Ogos Ini

Oppo yang terkenal dengan penghasilan peranti dengan reka bentuk menarik telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan peranti terbaru mereka, Oppo F9 minggu lepas. Pengumuman rasmi itu dibuat melalui beberapa kiriman pada akaun rasmi mereka di laman media sosial.

Sehubungan dengan itu, Oppo Malaysia telah mengesahkan bahawa peranti berkenaan akan hadir ke pasaran Malaysia secara rasmi pada 16 Ogos ini.



Seperti yang telah ditiriskan di internet sebelum ini, keistimewaan Oppo F9 terletak pada beberapa fungsi dan cirinya. Antaranya ialah dengan Oppo F9, pengguna akan dapat berbual selama 2 jam hanya dengan 5 minit pengecasan. Ia adalah hasil daripada fungsi pengecasan VOOC Flash Charge dari Oppo.

Selain itu, peranti ini juga akan muncul sebagai peranti pertama yang akan menggunakan skrin paparan waterdrop bersaiz 6.3-inci dengan nisbah skrin pada peranti sehingga 90.8%. Namun, tiada maklumat lanjut berkenaan skrin waterdrop itu yang diketahu buat masa ini.



Bukan itu sahaja, Oppo F9 ini turut akan didatangkan dengan rekaan warna cerun yang memberikan rupa paras menawan kepada peranti. Menginspirasikan rekaan kelopak bunga, ia dijangka akan membawa satu pembaharuan pada rekaan warna telefon pintar.

Antara spesifikasi dalaman lain yang pernah tertiris atas talina ialah penggunaan cip pemprosesan MediaTek Helio P60, dwi-kamera utama 16MP f/1.85 + 2MP serta kamera hadapan dengan lensa 25MP f/2.0.

Ia juga didakwa akan hadir dengan dua variasi iaitu 4GB RAM dan 6GB RAM, di mana kedua-duanya dilengkapi oleh simpanan dalaman 64GB. Memandang simpanan dalaman yang agak sederhana, kami menjangkakan ia akan menyokong fungsi kad mikroSD.



Diperkenalkan dengan tiga pilihan warna cerun iaituĀ Sunrise Red, Twilight Blue serta Starry Purple, Oppo F9 dijangka akan dapat menarik minat ramai selepas dilancarkan. Harga peranti pula berkemungkinan besar akan hanya didedahkan pada majlis pelancarannya nanti.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh ikuti laman Facebook dan laman sesawang rasmi Oppo Malaysia.

Kredit gambar : FB Oppo Malaysia

Sumber