OnePlus Bullets Wireless Z Dijangka Hadir Dengan Ketahanan Bateri 20 Jam Dan Piawaian IP55

Selain pelancaran siri OnePlus 8, syarikat itu juga dijangka akan mengumumkan sekali fon telinga mereka yang terbaharu. Ia dinamakan OnePlus Bullets Wireless Z dan merupakan kemaskini kepada Bullets Wireless 2 sebelum ini.

Untuk fungsi-fungsi terbaharu fon telinga tersebut, ia masih lagi menggunakan rekaan neckband, namun kini ketahanan bateri lebih dipertingkatkan sehingga 20 jam berbanding 14 jam pada Wireless 2. Selain itu, ia juga akan menyokong pengecasan pantas Warp Charge dengan 10 jam main-balik dengan hanya 10 minit cas.

Tambahan lagi, fon telinga juga akan menyokong piawaian kalis air dan habuk IP55. Ini merupakan fungsi yang ditunggu-tunggu oleh peminat OnePlus kerana model sebelumnya tidak menyokong mana-mana piawaian perlindungan kalis air/habuk langsung.

Antara perkara lain yang menarik mengenai fon telinga ini adalah ia bakal mempunyai lengah masa Bluetooth sekitar 110ms. Berbanding Apple Airpods pada lengah 144ms, ia adalah lebih rendah dan sangat membantu terutamanya jika pengguna menggunakannya ketika bermain permainan.

Sudah semestinya ia akan hadir dengan kualiti audio yang lebih baik dengan kemaskini spesifikasi yang selayaknya. Fon telinga OnePlus Bullets Wireless Z ini akan dilancarkan pada 14 April 2020 bersama-sama siri OnePlus 8 nanti. Mengenai harga jualannya pula, masih tiada maklumat yang dikongsikan lagi.

Sumber: Pricebaba

Berkaitan