Nubia Red Magic Mars Dilancarkan, Hadir Dengan Pilihan 10GB RAM & Snapdragon 845

Nubia Red Magic Mars akhirnya telah diperkenalkan oleh Nubia secara rasmi pada semalam. Ia muncul selepas kira-kira tujuh bulan generasi pertamanya, Red Magic dilancarkan.



Generasi terbaharu ini masih lagi mengekalkan penggunaan cip Snapdragon 845, namun kali ini hadir dengan pilihan memori sehingga 10GB RAM/256GB ruang simpanan. Variasi terendah pula ialah 6GB RAM/64GB.

Selain itu, Red Magic Mars ini hadir dengan skrin IPS LCD FHD+ bersaiz 6-inci, kamera utama berlensa tunggal 16MP f/1.8 serta kamera hadapan 8MP f/2.0.

Ia dikuasakan dengan bateri berkapasiti 3,800mAh yang disokong oleh pengecasan pantas Neocharge 16W. Seperti kebanyakan peranti 2018 yang lain, Red Magic Mars ini menggunakan port USB Type-C untuk tujuan pengecasan. Menariknya, peranti terbaharu Nubia ini memiliki dua butang di bahagian sisinya untuk kegunaan pengguna ketika bermain permainan mudah alih.

Sistem cahaya RGB seolah-olah menjadi simbol sesuatu peranti itu dihasilkan untuk tujuan permainan video. Begitu juga dengan Red Magic Mars ini, di mana ia mempunyai sistem berkenaan pada bahagian belakangnya.



Nubia Red Magic Mars ini hanya dipasarkan di China setakat ini. Ia ditawarkan pada harga sekitar RM1,630(6GB/64GB), RM1,932(8GB/128GB) dan RM2,415(10GB/256GB).

 

Sumber: GizmoChina