Nokia XpressMusic Mungkin Kembali Ke Pasaran

Suatu ketika dahulu, siri Nokia XpressMusic cukup popular dalam kalangan pengguna telefon pintar kerana disertakan dengan butang khusus bagi memainkan senarai lagu. Kini, salah satu daripada model dalam siri tersebut mungkin akan dihidupkan semula untuk pengguna yang merinduinya.

Menerusi imej yang dimuat naik pada laman TEENA, terdapat sebuah peranti mirip seperti Nokia XpressMusic 5130 yang telah dihentikan pengeluarannya sekitar 10 tahun lepas. Dari segi spesifikasi, ia dilengkapkan dengan skrin paparan 2.4 inci bersama resolusi 240 x 320 serta bateri berkapasiti 1200mAh.



Seperti keluaran terdahulu, peranti ini didatangkan dengan satu kamera 0.3MP sahaja dan diletakkan pada bahagian panel belakang. Ia juga hanya menyokong rangkaian 2G yang mana rangkaian ini telah ditamatkan pada beberapa negara termasuk Singapura.



Perbezaan boleh dilihat pada bahagian sisi peranti yang kini tidak mempunyai sebarang butang untuk memainkan lagu seperti Nokia XpressMusic 5130.

Sebelum ini, Nokia sedia menawarkan kembali beberapa model lama seperti Nokia "Pisang" dan Nokia "Tiga-tiga sekupang". Penawaran bagi peranti XpressMusic terbaru ini masih belum diketahui lagi.

Sumber: GSMArena