Nintendo Patenkan Nama "Nintendo Switch Do", Mungkin Perkhidmatan Permainan Baru

Nintendo pada minggu lalu telah membuat kejutan dengan mengumumkan konsol terbaru dikenali sebagai Nintendo Switch Lite. Diperkenalkan sebagai alternatif kepada Switch yang terdahulu, ia akan mula berada dipasaran bermula September ini.

Kini terdapat satu laporan menyatakan syarikat tersebut telah memohon pemfailan paten nama "Nintendo Switch Do" dan ia dikaitkan sebagai platform perkhidmatan permainan terbaru.

Permohonan paten itu telah dibuat kepada ILPO (Israel Patent Office) bertarikh 8 Julai 2019 dimana didalamnya ada menyebut tentang 'permainan, permainan mudah alih dengan skrin LCD, perkhidmatan hiburan, program permainan elektronik (boleh dimuat turun)'.



Melalui paten ini, terdapat spekulasi Nintendo mahu memperkenalkan servis permainan baru disamping Nintendo Switch Online yang dilancarkan tahun lalu. Perkhabaran ini mungkin mengujakan pemilik konsol dan anda perlu menunggu sama ada Nintendo Switch Do akan menawarkan sesuatu yang menarik pada masa akan datang.

Sumber: Lets Go Digital