Perbezaan Antara Nintendo Switch Dan Nintendo Switch Lite Yang Baru Diumumkan

Setelah membiarkan peminat berteka-teki untuk beberapa ketika, Nintendo akhirnya hadir mengumumkan model alternatif kepada Nintendo Switch, dikenali sebagai Nintendo Switch Lite.

Ia tampil lebih kecil dan selain perbezaan ketara melibatkan saiz, ia turut membuang keupayaan mencabut panel butang pengawal, Joy-Con dengan rekaan butang yang disekalikan pada badan konsol. Apa lagi perbezaan antara Nintendo Switch Lite dan Nintendo Switch?

Rekaan



Saiz yang lebih kecil Nintendo Switch Lite turut diiringi dengan perubahan butang D-Pad disebelah kiri. Jika speaker Switch berada dihadapan, model Lite pula diletakkan pada bahagian bawah.



Mod permainan

Peminat pastinya sudah maklum bahawa Switch mempunyai tiga mod permainan berbeza; mod TV, mod tabletop serta penggunaan bermain menggunakan tangan seperti biasa. Bagi versi Lite yang baru ini, ia hanya menyediakan satu mod sahaja iaitu pegangan tangan.



Ini kerana tidak mempunyai ciri sambungan kepada TV serta tidak kickstand, untuk didirikan diatas meja. Nintendo Switch Lite juga tidak mempunyai ciri HD Rumble atau IR Motion yang ada pada Joy-Con versi sebelumnya.

Permainan yang serasi dimainkan

Nintendo Switch Lite serasi memainkan sebarang permainan yang disediakan bagi versi standard tetapi yang mempunyai sokongan mod pegangan tangan sahaja.

Bagi permainan yang tidak menyokong mod pegangan tangan, pengguna boleh menyambungkan Lite kepada pengawal yang sesuai secara tanpa wayar dan menjadikan seperti mod tabletop. Sekiranya pengguna menggunakan Joy-Con dari Switch, anda perlu mencari jalan lain untuk mengecasnya kerana ia tidak boleh dipaut secara fizikal pada Switch Lite.

Apa yang hadir didalam kotak



Peminat yang membeli Switch Lite hanya akan menerima konsol itu sendiri dan pengecas. Ia tidak didatangkan dengan dock, kabel HDMI atau kickstand seperti model terdahulu.

Spesifikasi antara kedua-dua model

  • Berat

    • Switch (dengan Joy-Con): 400 gram

    • Switch Lite: 277gram



  • Skrin sesentuh

    • Switch: 6.2 inci (720p)

    • Switch Lite: 5.5 inci (720p)



  • Bateri

    • Switch: 2.5 jam hingga 6.5 jam

    • Switch Lite: 3 jam hingga 7 jam



  • Storan

    • Switch: 32GB

    • Switch Lite: 32GB




Pilihan warna yang ditawarkan

Sewaktu dilancarkan dahulu, Nintendo Switch ditawarkan dengan rekaan berwarna kelabu, neon merah serta neon biru. Bagi generasi terbaru ini, pilihan warna yang diberikan adalah turquoise, kuning serta kelabu.



Terdapat juga sebuah model edisi khas Pokemon (Zacian & Zamazenta Edition) yang dijangka pengeluarannya pada November nanti.

 



Harga jualan rasmi

Nintendo Switch hadir secara rasmi dengan nilai $299.99 (~RM1239) dan bagi Switch Lite pula, ia diumumkan pada tanda harga $199.99 (~RM826). Model Lite telah dijadualkan pelancarannya pada 20 September depan.

Dalam perkembangan lain, Nintendo turut dilaporkan merancang untuk menaik taraf model Switch dengan pemproses serta storan yang lebih baik. Ia adalah berdasarkan pemfailan yang dibuat syarikat pengeluar kepada Federal Communications Commision (FCC), dimana Nintendo ingin meminta kebenaran membuat perubahan pada Switch tanpa perlu mendapatkan kelulusan untuk keseluruhan perkara sekali lagi.

Perubahan yang dinyatakan adalah untuk menukar jenis cip pemprosesan yang ketika ini menggunakan Nvidia Tegra X1 serta pertukaran untuk jenis memori NAND, merujuk kepada storan konsol.

Khabar angin juga memperdengarkan Nintendo sedang dalam usaha memperkenalkan dua model Switch; versi kecil yang telah kita sedia maklum serta sebuah lagi menyamai model asal tetapi dengan komponen dalaman yang dipertingkatkan. Namun begitu, ia masih samar-samar lagi sama ada model ini akan ialah Nintendo Switch Pro atau versi biasa yang ditambah baik.