Neelofa Bakal Melancarkan Aplikasi Islamik TheNoor Pada Januari 2021 - Dilengkapi Waktu Solat, Arah Kiblat Dan Bacaan Al-Quran

Sebelum ini, Neelofa telah mengacah aplikasi miliknya, TheNoor melalui Instagram Stories. Ia turut menyatakan aplikasi berasaskan gaya hidup Muslim itu bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Terbaru, aplikasi itu disahkan bakal dilancarkan sekitar Januari 2021.

Dalam pada itu, beberapa ciri dari aplikasi TheNoor turut didedahkan. Antara ciri utama pada aplikasi ini termasuk Bacaan Al-Quran atau Al-Quran Player dengan 3 mod audio pelantun bacaan Al-Quran.



Terdapat juga terjemahan suara dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Bahasa Indonesia. Menariknya, untuk bahasa Melayu, terjemahannya akan disuarakan oleh Neelofa sendiri. Dijangka lebih banyak bahasa akan ditawarkan kelak.

aplikasi TheNoor

Selain itu, terdapat juga petunjuk arah kiblat yang bukan sahaja boleh digunakan di Malaysia, malah seluruh dunia. Ia turut menyenaraikan akses masjid terdekat setiap kali Qiblat diaktifkan.

aplikasi TheNoor

Menurut komen balas di Instagram rasmi @thenoor.app, aplikasi ini akan ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna serta tersedia di App Store dan Play Store.

Dengan pelancaran aplikasi TheNoor nanti, sudah pasti ia lebih memudahkan pengguna untuk mendapatkan aplikasi gaya hidup Muslim dari pembangun tempatan.

Bagaimana pula pandangan anda mengenai aplikasi TheNoor? Tinggalkan komen anda.

Sumber: Instagram TheNoor