Nama Telefon Boleh Lipat Samsung Mungkin Sudah Pun Didedahkan

Menghasilkan peranti dengan skrin boleh lipat telah menjadi sasaran Samsung sejak sekian dua atau tiga tahun yang lalu. Perkara itu dilihat semakin hampir menjadi kenyataan dari hari ke hari.

Menguatkan dakwaan itu, nama telefon berkenaan didakwa telah terdedah di Korean Intellectual Property Office (KIPO). Satu peranti Samsung dengan nama Samsung Infinity-V telah didaftarkan di laman berkenaan di bawah kategori 09. Kategori itu merangkumi perkara-perkara berkaitan "paparan untuk telefon pintar dan telefon pintar".

Samsung sebelum ini telah menggunakan Infinity Display pada beberapa perantinya selepas pertama kali diperkenalkan pada Galaxy S8. Abjad V pada kali ini telah dikaitkan dengan simbol lipatan. Malah, Samsung juga telah memberi petunjuk yang hampir sama dalam satu video acah untuk Persidangan Pembangun Samsung 2018 baru-baru ini.

https://twitter.com/SamsungMobile/status/1052892046288011264

Jika dilihat pada video di atas, ikon anak panah yang digunakan selepas frasa "Where Now Meets Next" juga berbentuk seperti abjad V secara melintang. Perkara kecil sebegini mungkin kurang diambil perhatian oleh kebanyakan pengguna, namun tidak bagi para pemerhati industri.

Pihak Samsung mungkin akan terus membiarkan pemerhati dan peminatnya untuk terus berteka-teki mengenai perkara ini sehingga acara tersebut di langsungkan nanti.

 

Sumber: BGR