Mozilla Hentikan Firefox OS

Menggunakan nama Boot to Gecko(B2G) diawal pelancaran dan kemudian pada Julai 2012 penjenamaan semula telah dibuat oleh Mozilla dengan menamakan ia sebagai Firefox OS. Firefox OS merupakan sebuah sistem operasi sumber terbuka (open source operating system) yang dibangunkan untuk platform telefon pintar, komputer tablet dan juga TV pintar.

Sebahagian daripada sistem operasi itu dibina berasaskan Android dan ia adalah sistem operasi sumber terbuka dikuasakan sepenuhnya oleh teknologi web. Semua aplikasi, antara muka, skrin utama, dan banyak bahagian didalam sistem ditulis menggunakan HTML, CSS, dan JavaScript.

Diawal pengeluaran, Firefox OS mensasarkan peranti berspesifikasi rendah tetapi malangnya saingan yang diterima dari sistem operasi lain terlalu hebat dan pada Disember 2015 Mozilla terpaksa menghentikan pembangunan Firefox OS untuk telefon pintar. Sejak itu mereka memfokuskan kepada projek yang diuruskan sebuah pasukan yang dikenali sebagai 'connected devices project'. Hasilnya mereka berjaya melengkapkan TV Panasonic 4K dengan Firefox OS yang diubah suai.

Terbaru, sepertimana yang dilaporkan oleh Ars Technica, Mozilla telah memberhentikan seramai 50 orang jurutera yang merupakan ahli dalam pasukan 'connected devices project' tersebut. Ini merupakan langkah syarikat terbabit untuk mengurangkan kerugian yang ditanggung dan dalam masa yang sama mencari peluang membangunkan teknologi yang lain.Mereka kini lebih memfokuskan teknologi untuk IoT (Internet of Things) dan salah satu projek yang sedang dibangunkan adalah Projek Vaani, satu teknologi arahan suara mirip Alexa yang dicipta oleh Amazon.

Sebahagian kakitangan yang terlibat dalam penghentian projek itu akan mendapat jawatan yang berlainan didalam Mozilla dan yang selebihnya akan diberi pampasan dan dibantu untuk mencari pekerjaan yang lain.

Sumber: Ars Technica, CNET