Motorola kini memperkenalkan edisi khas telefon pintar lipatannya, Moto Razr 50 “White Lover Limited Edition”, yang hadir dengan rekaan yang eksklusif dan penuh gaya. Direka untuk menarik perhatian pengguna yang mementingkan gaya, versi ini dilengkapi kemasan tekstur mica pearlescent pada penutup belakang, menghasilkan kilauan yang unik dan kemasan yang halus. Struktur badan telefon diperbuat daripada bahan komposit yang menjadikannya ringan tetapi kukuh.
Dari segi prestasi, Moto Razr 50 ini dikuasakan oleh pemproses MediaTek Dimensity 7300X yang memberikan kelancaran untuk multitugas dan pengendalian aplikasi.
Kamera utama 50MP hadir dengan OIS untuk kualiti gambar yang jelas, disertakan dengan kamera ultra lebar 13MP untuk tangkapan yang lebih luas.
Moto Razr 50 mempunyai skrin OLED luar berukuran 3.6 inci dengan kadar segar semula 144Hz yang menghasilkan pengalaman skrol yang licin. Ia juga berspesifikasi HDR10+ bagi warna yang lebih hidup. Skrin dalaman yang lebih besar menampilkan kepadatan piksel 413 PPI untuk visual yang tajam dan jelas. Peranti ini juga dilengkapi bateri berkapasiti 4200mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar dan tanpa wayar serta memiliki ketahanan air IPX8.
Peranti keluaran baharu ini juga akan dilengkapi ciri AI , seperti terjemahan masa nyata, pengecaman imej, dan pengecaman skrin pintar, menambah nilai pengalaman pengguna.
Moto Razr 50 “White Lover Limited Edition” dijual pada harga 3,599 yuan (~RM2,210) dan kini hanya tersedia di China. Buat masa ini, masih belum ada maklumat jika edisi terhad ini akan dijual di pasaran global.
Selain itu, Motorola juga bakal melancarkan telefon flip bajet, Razr 50s, yang pertama kali diperkenalkan di Jepun pada September 2024 dan dijangka hadir untuk pasaran global tidak lama lagi.
{suggest}
Sumber: Gizmochina