iQOO 13 akhirnya dilancarkan secara rasmi. Ia menjadikan peranti tersebut salah satu terawal yang menggunakan cip Snapdragon 8 Elite.
Telefon ini hadir dengan skrin 6.82 inci beresolusi 2K dengan panel LTPO 2.0 AMOLED diperbuat BOE dan berkadar segar semula 144Hz. Ia juga menggunakan paparan Q10 dengan kecerahan maksimum 1800 nits, 2592Hz PWM dimming dan paparan berlubang yang menempatkan kamera swafoto 32MP.
Selain cip terbaru Qualcomm dan didakwa menerima skor 3 juta dalam ujian AnTutu, peranti ini juga didatangkan cip gaming Q2 yang dikatakan menawarkan resolusi tekstur setaraf PC.
Kamera belakangnya menampilkan 50MP Sony IMX921 lensa lebar, 50MP Samsung S5KJN1 ultra lebar dan 50MP Sony IMX816 lensa telefoto.
Selain itu, modul kameranya juga dikelilingi pencahayaan RGB dengan 6 kesan dinamik serta 12 kombinasi warna yang boleh memaparkan pemberitahuan, reaksi muzik dan menunjukkan status bateri. Menarik lagi, ia juga boleh memaparkan status kemenangan dan ‘kills’ untuk permainan terpilih, seperti Honor of Kings.
Di dalam, ia dibekalkan bateri karbon silikon berkapasiti 6150mAh dengan sokongan pengecasan 120W berwayar. Peranti ini turut hadir dengan penarafan kalis air dan debu IP69/IP68.
Lain-lain spesifikasi adalah seperti 5G, Bluetooth 5.4, NFC, pengimbas cap jari ultrasonik dan menjalankan OriginOS 5 berasaskan Android 15.
iQOO 13 ditawarkan dengan memori LPDDR5x sehingga 16GB dan sehingga 1TB storan dalaman UFS 4.0.
Ia dijual pada tanda harga bermula RMB3,999 (~RM2,456). Buat masa sekarang, iQOO 13 terhad di pasaran China dan mungkin akan ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.