Model Awal Mac Dengan Cip ARM Adalah MacBook Pro 13 Inci Dan iMac - Mungkin Hadir Seawal Hujung Tahun Ini

Sebelum ini Apple telah berhajat untuk memperkenalkan barisan komputer Mac dengan cip ARM dan tidak lagi menggunakan cip dari Intel. Hari ini penganalisis Apple, Ming-Chi-Kuo mengesahkan rancangan Apple tersebut dengan laporan baharu menyatakan ia bakal diumumkan seawal hujung tahun 2020 atau awal 2021.

Menurut Kuo, model awal yang akan menerima kemaskini cip ARM ini adalah komputer riba MacBook Pro 13.3 inci dan iMac.

Tambahannya, Apple akan menghentikan penghasilan MacBook Pro 13.3 inci dengan cip Intel sejurus selepas melancarkan MacBook dengan cip ARM.

Mengenai iMac pula, ia akan menggunakan rekaan baharu dengan paparan berukuran 24 inci. Akan tetapi sebelum melancarkan iMac terbaharu dengan cip ARM, Apple akan mengemaskini model sedia ada cip Intel terkini terlebih dahulu.

Bermula tahun 2021, kesemua model komputer Mac akan dilengkapi dengan cip pemprosesan buatan Apple sendiri. Peralihan ini dikatakan akan mengambil masa dari 12 ke 18 bulan.

Antara sebab mengapa Apple mahu mengubah kepada cip buatan sendiri adalah dari segi pengoptimasian, kos, prestasi, dan juga cekap tenaga.

Dengan perubahan penggunaan cip berasaskan ARM, komputer riba Mac mampu bertahan lebih lama sepertimana peranti pintar yang ada di pasaran sekarang.

Sumber: MacRumors

Beli MacBook di -
Lazada: https://invol.co/clpff5

 

Berkaitan