MKBHD Sebenarnya Sudah 2 Minggu Gunakan OnePlus 8 Pro Yang Belum Lagi Dilancarkan

Tinggal lebih kurang sahaja lagi siri OnePlus 8 akan dilancarkan dan kelihatannya ramai peminat menantikan ketibaannya secara rasmi. Adalah normal jika OnePlus sendiri yang mengacah peranti ini namun bagaimana pula jika orang lain mengacahnya pula. Tambahan lagi, beliau telah menggunakan peranti ini dalam tempoh yang sudah cukup untuk dibuat ulasan iaitu selama 2 minggu.

Sudah tentu anda pernah dengar jenaka MKBHD sudah lama menggunakan sesuatu peranti terkini yang belum dilancarkan lagi. Dan pada kebanyakan masa, beliau memang menggunakan peranti tersebut berminggu-minggu. Antara jenama yang kebiasaannya menjadi rutin untuk menyerahkan unit ulasan kepada MKBHD adalah OnePlus. Untuk OnePlus 8, kelihatannya mereka masih lagi meneruskan tradisi itu.

Hari ini, secara mengejut, tidak disuruh oleh sesiapa pun, MKBHD memuat naik video eksklusif beliau bersama OnePlus 8 Pro di akaun Twitter milik beliau. Walaupun video tersebut hanya berdurasi tidak sampai 2 minit, ia merupakan video dengan peranti OnePlus 8 Pro yang asli dan bukannya datang entah dari siapa-siapa.

https://twitter.com/MKBHD/status/1249716309627154432

Namun, walau MKBHD sendiri pun tidak sabar untuk memuat naik video ulasan peranti ini (yang kebiasaannya akan dimuat naik sejurus selepas acara pelancaran peranti), beliau masih menyorokkan peranti di sebalik kerangka khas. Ia menutupi keseluruhan peranti dan hanya bahagian skrin sahaja yang terdedah. Namun tidak semua paparan hadapannya didedahkan kerana bahagian atas peranti masih lagi ditutup. Mungkin ia merupakan saranan OnePlus untuk kekal memastikan peminat mereka tetap teruja dengan peranti tersebut saat dilancarkan nanti.



Penonton sememangnya tidak boleh melihat secara penuh bahagian belakang peranti, namun masih terdapat rekaan kasar yang menonjolkan bahagian menegak modul kamera peranti. Beliau pun tidak berkata apa-apa mengenai kamera belakangnya.

Aspek peranti yang diperkatakannya adalah spesifikasi paparan peranti tersebut. Ia mempunyai kadar segar semula 120Hz dengan resolusi Quad HD+. Bilamana Samsung hanya mampu untuk menawarkan paparan 120Hz pada resolusi Full HD+ sahaja, OnePlus keluarkan muslihat agung mereka melawan apa yang Samsung mampu tawarkan. Sudah tentu ia bukan peranti pertama dengan paparan QuadHD+ 120Hz kerana siri OPPO Find X2 sebelum ini sudah hadir dengan penawaran sedemikian.



Namun peranti OPPO kurang dikenali untuk pengguna di barat seperti AS, jadi OnePlus merupakan jenama yang lebih dekat dengan mereka. Berbalik kepada video, MKBHD juga ada menyatakan input sentuhan 120Hz yang merupakan norma untuk flagship era masa kini. Sebelum ini iPhone X merupakan peranti pertama dengan input yang tinggi 120Hz. Jadi adalah sesuatu yang baik untuk jenama lain mengikuti fungsi ini lebih-lebih ia gabungan yang sesuai dengan paparan kadar segar semula yang tinggi.

MKBHD juga turut membuka bahagian System peranti untuk menunjukkan tetapan pilihan antara kadar segar semula 120Hz dan 60Hz. Tiada pilihan 90Hz yang kelihatan jadi pengguna hanya ada dua pilihan itu sahaja. Beliau juga turut menunjukkan demo menggunakan pengimbas cap jari dan ia kelihatan masih seperti model-model OnePlus yang sebelumnya - lancar dan pantas.

Tambahan lagi, paparan peranti menurutnya dirasakan pada kecerahan yang lebih tinggi berbanding model sebelumnya. Seperkara lagi yang dinyatakan adalah aspek lengkungan sisi skrin yang dirasakan agak agresif. Tahun ini, kedua-dua model OnePlus 8 biasa dan 8 Pro mempunyai lengkungan. Ini berlainan dengan model seperti siri OnePlus 7 dan OnePlus 7T di mana model asas setiap dari mereka mempunyai skrin yang rata. Jadi peminat skrin rata nampaknya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menghadap lengkungan skrin yang mencacatkan pemandangan ketika pengguna menonton video.



Selain dari itu, tidak banyak yang diperkatakan melainkan spesifikasi skrin peranti semata-mata. Namun, jujurnya walau MKBHD tidak memuat naik video tersebut, kesemua peminat beliau dan OnePlus sendiri tahu beliau sudah memegang peranti tersebut untuk satu tempoh yang agak lama. Lagipun, bukankah itu sudah jadi trademark MKBHD? Gunakan peranti walau belum dilancarkan lagi.

Sumber: MKBHD

Berkaitan