MediaTek Senaraikan Dimensity 720 Pada Laman Web Mereka, Sebuah Cip Yang Belum Lagi Diumumkan

Siri Dimensity dalam barisan cip MediaTek merupakan siri yang menawarkan teknologi rangkaian 5G. Siri ini telah melahirkan beberapa cip popular seperti Dimensity 1000 dan juga Dimensity 800.

Terbaru dari MediaTek, mereka kelihatannya akan mengumumkan cip 5G terbaharu Dimensity 720 dalam masa terdekat. Ia boleh dilihat melalui laman web rasmi MediaTek yang menyenaraikan cip itu bersebelahan antara MediaTek 1000 dan MediaTek 800.



Jika anda klik padanya, ia tidak membawa anda ke mana-mana dan laman tersebut tidak berinteraksi dengan klik tersebut. Ia menandakan halaman untuk Dimensity 720 itu masih belum sedia untuk dipaparkan secara umum.

Setakat ini, spesifikasi cip masih belum diketahui baik dari segi CPU, GPU ataupun proses binaan. Melihat kepada Dimensity 800 yang menggunakan CPU dari Cortex-A76 dengan frekuensi sehingga 2GHz, kita boleh menjangkakan kemampuan CPU Dimensity 720 adalah lebih rendah dari ini.

Mungkin Cortex-A76 pada frekuensi 1.8GHz atapun terus menggunakan CPU dari Cortex-A75. Apa yang penting ia sudah tentu tidak terlalu rendah dalam kuasa pemprosesan disebabkan ia adalah merupakan cip 5G.

Mengenai tarikh pengenalan rasmi tiada mana-mana maklumat yang dikongsikan oleh MediaTek. Namun terdapat laporan bahawa mereka mahu melancarkan cip 5G mampu milik dalam bulan ini juga.

Sumber: MediaTek

Berkaitan