MCMC: Hati-hati Terhadap Penipuan Dan Hasutan Yang Dicetuskan Akaun Media Sosial Palsu


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mengingatkan pengguna supaya sentiasa berwaspada terhadap akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan.

Selain mencetuskan suasana tidak tenteram melalui hasutan, akaun palsu ini turut digunakan untuk kegiatan penipuan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Pelbagai cara dilakukan oleh penjenayah siber untuk menjalankan aktiviti penipuan, termasuk menyamar menggunakan profil ahli keluarga, kenalan mangsa, orang kenamaan atau individu serta syarikat terkenal.

MCMC turut menggariskan beberapa panduan bagi mengenalpasi akaun palsu. Antaranya termasuk:




    • Baru diaktifkan dalam tempoh beberapa bulan.      
      Akaun baharu kerap diwujudkan bagi mengaburi jejak daripada pihak berkuasa atau pembongkaran oleh mangsa penipuan sebelum ini.

    • Nama pemilik akaun seolah-olah bukan nama sebenar.      
      Nama yang digunakan ialah nama samaran atau nama orang terkenal.

    • Maklumat peribadi meragukan.      
      Biodata disembunyikan atau tidak realistik.

    • Gambar profil tidak berkaitan dengan identiti.  
      Gambar yang digunakan berbentuk abstrak atau dicuri daripada profil orang lain. Sila gunakan carian Google Images untuk mengesan gambar lain yang berkaitan.

    • Senarai rakan yang terlalu sedikit.      
      Akaun palsu mempunyai senarai rakan yang sedikit atau tiada langsung kerana tujuan akaun dibuka bukan untuk perkenalan jangka panjang. Kemungkinan akaun dalam senarai rakan adalah juga akaun palsu.

    • Aktiviti akaun tiada langsung kisah berkaitan peribadi.  
      Terlalu sedikit catatan dinding (wall post). Kebanyakan kandungan hanya perkongsian ulasan dan bahan yang diambil atau dikongsi daripada orang lain.

    • Likes/Following yang tidak seimbang.  
      Terlalu banyak likes hantaran orang lain di pelbagai topik dan kumpulan. Terlalu sedikit likes di halaman sendiri.

    • Sering terperam untuk tempoh yang tertentu.
      Hanya aktif sekali-sekala dan kadangkala dinyah aktif.




Jika terdapat lebih daripada satu ciri-ciri yang dinyatakan, pengguna diminta untuk berhati-hati ketika berurusan melalui akaun media sosial berkenaan, terutamanya yang melibatkan transaksi kewangan atau aktiviti jual beli.

Dalam pada itu, MCMC turut mengingatkan pengguna media sosial untuk mengelakkan daripada memperkatakan isu sensitif berkaitan agama, kaum, institusi diraja dan politik yang cuba diapi-apikan oleh pemilik akaun palsu.

MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain yang berkaitan boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat salah guna internet dan media sosial untuk tujuan jenayah atau hasutan.

Sumber: MCMC