MAXIS Memperkasakan Pembelajaran Alam Maya Di Dalam Kelas Dengan 5G

Maxis Communication merupakan sebuah syarikat gergasi telekomunikasi yang tidak perlu dikenalkan lagi. Mereka sentiasa memberikan servis perkhidmatan yang cemerlang untuk pelanggan mereka di seluruh negara. Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi, Maxis sentiasa menghadirkan teknologi terkini untuk pasaran tempatan. Baru-baru ini Maxis tampil lagi dengan program tanggung jawab social mereka yang melibatkan pelajar-pelajar di kawasan terpencil di negara ini.



Program yang diberi nama eKelas itu mengumpul sekumpulan pelajar di kawasan Langkawi, Kedah untuk merasai sendiri apa itu sebenarnya teknologi 5G atau Generasi ke-5. Pelajar dari tahun 6 sehingga tingkatan 5 berpeluang mengikuti pelajaran seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di dalam suasana yang menarik dan interaktif, semuanya dengan hasil daripada teknologi 5G Maxis.





Program yang diiktiraf Kementrian Pendidikan itu telah mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan dijalankan di Pusat Internet Kg. Padang Wahid. Pelajar yang terlibat juga dapat mengutip markah ko-kurikulum selaras dengan usaha kementrian untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan juga ko-kurikulum.

Kami berpeluang mengikuti salah satu sesi eKelas tersebut dan pada ketika itu pelajaran Biologi sedang dijalankan. Guru yang berada di Kuala Lumpur mengajar pelajar-pelajar melalui skrin yang disambungkan melalui persidangan video secara langsung. Pelajar juga berpeluang mengenali organ dalaman manusia secara langsung melalui set kepala realiti maya yang semuanya boleh dilakukan kerana sambungan internet 5G.





Program eKelas ini sudah melibatkan pelajar melebihi 13,000 orang melibatkan 72 pusat internet meliputi 10 negeri dan juga 20 buah sekolah. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, program tanggungjawab sosial Maxis ini sudah membuahkan hasil yang memberangsangkan. Program yang diiktiraf sebagai program tanggungjawab sosial terbaik oleh Suruhanjaya Komunikasi Malaysia pada tahun 2016 ini memperlihatkan kemampuan sebenar teknologi 5G dalam membantu pelajar luar bandar untuk merasai kemajutan teknologi terkini seperti alam maya (VR) dalam bidang pendidikan.