Manifesto Xiaomi Tertunai Dengan Pelancaran Poco F1, Peranti Snapdragon 845 Termurah Masa Kini

Anda fikir Mi 8 merupakan peranti Snapdragon 845 dengan harga paling murah yang pernah dihasilkan? Fikirkan semula. Ini kerana Xiaomi baru sahaja memperkenalkan sub-jenama baru mereka iaitu Pocophone (Poco) melalui peranti pertamanya, Poco F1. Harganya? Pasti lebih murah berbanding peranti dengan sistem cip sama yang terjual di pasaran hari ini.



Dilancarkan buat pertama kali di India semalam(22 Ogos), peranti ini hadir dengan cip pemprosesan dengan enjin kecerdasan buatan Qualcomm, Snapdragon 845 AIE. Ia turut didatangkan dengan sistem penyejukan cecair bagi memastikan suhu peranti kekal berada di tahap yang optimum.

Selain itu, Poco F1 ini akan dikuasakan dengan bateri berkapasiti 4,000 mAh yang menyokong fungsi pengecasan pantas, Qualcomm Quick Charge 3.0. Dari segi paparan pula, ia menggunakan skrin IPS LCD FHD+ bersaiz 6.18-inci dengan rekaan takuk di bahagian dahi.



Beberapa fungsi menarik lain yang disertakan bersama peranti ini ialah pengesanan wajah infra-merah, MIUI khas bagi Poco serta sistem audio Dirac HD Sound. Dimulakan dengan pengesan wajahnya, sokongan infra-merah akan membantu dalam menyahkunci peranti dengan lebih baik terutamanya ketika dalam suasana kurang cahaya.



MIUI for Poco adalah merupakan antaramuka terbaru dari Xiaomi yang diperkenalkan khas bagi penggunaan peranti Poco. Pengguna akan menikmati pengalaman menggunakan POCO Launcher yang didakwa lebih pantas, kemas dan pintar. Manakala Dirac HD Sound pula akan memberikan kualiti audio yang lebih baik bagi memberi lebih kepuasan semasa mendengar muzik atau menonton video.



Bagaimana pula dengan harganya? Poco F1 ini dilancarkan dengan tiga edisi iaitu 6GB RAM + 64GB, 6GB + 128GB serta 8GB + 256GB. Ia dijual dengan harga Rs 20,999 (~RM 1,231) bagi model 64GB, Rs 23,999 (~RM 1,407) untuk model 128Gb hinggalah ke variasi tertinggi, 256GB yang dipasarkan pada harga Rs 28,999 (~RM 1,700).

Xiaomi dijangkakan tidak akan menunggu lama untuk memasarkan peranti ini di peringkat global pula, di mana mereka dijadualkan akan memperkenalkan Poco F1 ini di Paris, Hong Kong dan Jakarta pada 27 Ogos ini. Kami menjangkakan peranti ini juga akan tiba di Kuala Lumpur dalam masa terdekat. Sama-sama kita tunggu.

 

Sumber