Pertengahan Oktober lalu, vivo secara rasminya melancarkan siri vivo X200 di Beijing, China. Tiga model dipertaruhkan di mana kali ini ada model pro mini.
Tidak seperti sebelum ini, pengguna tidak perlu menunggu lama. Ini kerana sumber kami mengesahkan bahawa siri vivo X200 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia bulan November ini. Menarik lagi, Malaysia merupakan negara Asia Tenggara pertama yang menerima peranti tersebut.
Menerusinya, negara kita makin bertuah kerana dapat peranti terbaru lebih awal berbanding negara lain kerana realme GT7 Pro yang dilancarkan semalam pun akan masuk ke pasaran tempatan beberapa minggu lagi.
Pun begitu, kami tidak dapat mengesahkan lagi adakah semua model dan pilihan warna ditawarkan di Malaysia. Pada siri vivo X100 dan terdahulu, tidak semua model dan warna rasmi di sini. Berbalik kepada konteks, X200, X200 Pro mini dan X200 Pro masing-masing menawarkan empat pilihan warna di China.
Imbas kembali, vivo X200 Pro dilengkapi lensa telefoto 200MP ZEISS APO yang menawarkan jarak fokus dari 24mm sehingga 135mm. Ia turut hadir dengan mod telefoto makro. Selain itu, ia dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9400 dengan padanan memori sehingga 16GB RAM dan juga storan dalaman sehingga 1TB.
Dalam perkembangan lain, menurut data Counterpoint Research, pegangan pasaran vivo pada Q3 2024 melonjak 19.2% di China.
Apa-apa pun, sekiranya anda tertanya-tanya, kami belum mengetahui tarikh pelancarannya di Malaysia tetapi sebelum penghujung November 2024.
{suggest}