Mahkamah China Memerintah Samsung Membayar $11.6 Juta Kepada Huawei

Sebuah mahkamah di China telah membuat keputusan untuk memihak kepada Huawei dalam satu kes perebutan hak cipta paten di antara Huawei dan Samsung. Samsung dilaporkan perlu membayar $11.6 juta kepada Huawei.

Reuters melaporkan pada Khamis bahawa Huawei muncul sebagai pemenang dalam pertempuran undang-undang terhadap Samsung ke atas harta intelek yang dimiliki Huawei.

Keputusan itu menjadikan kes pertama yang memihak kepada Huawei daripada beberapa tindakan undang-undang difailkan terhadap syarikat Korea Selatan itu sebelum ini.

Seorang jurucakap Huawei menyambut baik keputusan yang dibuat oleh mahkamah China tersebut, manakala Samsung berkata pihak mereka menimbang untuk bertindak balas terhadap keputusan mahkamah itu.

Tiada laporan penuh tentang paten apa yang sebenarnya diambil oleh Samsung dalam rekaan telefon pintar mereka. Namun mengikut laporan sebelum ini, Samsung dikatakan menggunakan teknologi 4G generasi ke-4, sistem operasi dan UI yang dibawakan oleh Huawei.

Huawei dan Samsung seperti yang dikenali merupakan dua pembuat telefon pintar terbesar ketika ini dengan Huawei merangkumi 8.3% pasaran manakala Samsung pula dengan 23.2% pasaran pada suku pertama tahun ini, menurut Wall Street Journal.

 

Sumber