MacBook Pro Berasaskan Cip M1 Kini Dilancarkan - Ketahanan Bateri Sehingga 20 Jam, Harga Bermula RM5599


Apple melalui acara "One More Thing" kini turut mengumumkan komputer riba MacBook Pro 13 inci yang dikuasakan cip pemproses buatan Apple sendiri.

MacBook Pro baharu ini didatangkan dengan skrin Retina bersaiz 13.3 inci. Ia dijana cip pemproses M1 dengan 8 teras CPU, 8 teras GPU dan 16 teras Neural Engine. Apple menyatakan cip M1 mempunyai "teras CPU terpantas di dunia", integrasi grafik terpantas, serta mempunyai kuasa dan prestasi yang lebih baik berbanding cip Intel yang digunakan sebelum ini.

Prestasi CPU MacBook Pro baharu ini dipertingkatkan sehingga 2.8 kali, sementara kelajuan grafik GPU pula dipertingkatkan sehingga 5 kali lebih pantas berbanding generasi sebelumnya. Bagi Neural Engine, ia mempunyai Machine Learning sehingga 11 kali lebih pantas.

harga MacBook Pro cip M1

Komputer ini menjalankan sistem operasi macOS 11 Big Sur. Antara yang dimuatkan pada MacBook Pro baharu ini adalah Wi-Fi 6, sistem penyejukan aktif, Magic Keyboard, Touch Bar serta 2 port Thunderbolt/ USB 4 di bahagian sisi kiri. Ia turut menyokong sehingga 16GB RAM dan 2TB storan SSD.

harga MacBook Pro cip M1

Jangka hayat bateri turut dipertingkatkan sehingga 17 jam bagi melayari laman web serta boleh memainkan video sehingga 20 jam. Menurut Apple, ia adalah 10 jam lebih lama berbanding sebelumnya dan merupakan jangka hayat bateri paling lama yang pernah ditawarkan pada Mac.

MacBook Pro 13 inci baharu ini ditawarkan pada harga bermula RM5,599 bagi 256GB storan serta RM6,399 untuk 512GB storan. Buat masa ini, Apple Malaysia masih belum mengumumkan bila ia akan mula ditawarkan untuk pasaran tempatan.