LHDN Saran Permohonan Baharu BPN 2.0 Dilakukan Secara Dalam Talian

Kerajaan pada bulan lalu telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion akan diserahkan kepada lebih 10.6 juta rakyat yang terlibat bermula Oktober ini.

Untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0, tiada permohonan semula yang perlu dilakukan bagi penerima BPN sedia ada yang telah menerima bayaran sebelum ini. Namun, bagi bukan penerima BPN 2020, permohonan baharu perlu dikemukakan.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menyatakan permohonan baharu boleh dilakukan melalui dua cara iaitu dalam talian atau penghantaran borang manual melalui mana-mana Cawangan, Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau UTC LHDNM.

https://www.facebook.com/LHDNM/posts/3275190522549873

Kini, LHDNM menyarankan permohonan baharu BPN 2.0 dibuat secara dalam talian. Ia berikutan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga dapat diputuskan.

Saranan ini terutamanya adalah bagi pemohon yang berada dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dalam pada itu, semakan penerima BPN 2.0 boleh dibuat pada 15 Oktober ini melalui portal rasmi BPN. Sementara itu, permohonan baharu pula akan dibuka mulai 15 Oktober hingga 15 November 2020 melalui portal yang sama.

Sumber: LHDN