Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
LG, AFP

LG Electronics Dikhabar Bincang Jual Bahagian Perniagaan TV Kepada Hisense

Diterbitkan Mei 28, 2026 · Dikemas kini Mei 28, 2026 oleh Amsyar Latif

Mengikut laporan eksklusif portal berita Korea EBN, LG Electronics telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi pengeluar TV gergasi China, Hisense, bagi membincangkan pelan penstrukturan semula perniagaan termasuk potensi menjual bahagian pembuatan televisyen mereka.

Langkah ini diambil berikutan kemerosotan kecekapan keuntungan yang berpanjangan serta persaingan global yang semakin sengit, terutamanya daripada pengeluar China yang menawarkan harga lebih kompetitif.

Sekiranya jualan ini direalisasikan, LG bakal menamatkan operasi pembuatan perkakasan TV yang telah mereka terajui selama hampir 60 tahun sejak pelancaran TV hitam-putih pertama Malaysia/Korea (VD-191) pada Ogos 1966 oleh GoldStar.

Menurut data industri daripada Omdia, pegangan pasaran global LG bagi penghantaran TV telah mendatar sekitar paras 10% kebelakangan ini, manakala jenama China seperti TCL (14%) dan Hisense (12.5%) menunjukkan peningkatan mendadak.

Malah, gabungan pegangan pasaran tiga jenama utama China (TCL, Hisense, Xiaomi) telah pun memotong gabungan pegangan pasaran gergasi Korea Selatan, Samsung dan LG, sejak tahun 2024.

Dari segi kewangan, perniagaan perkakasan TV yang kini diletakkan di bawah Bahagian Media Entertainment (MS) mencatatkan margin keuntungan operasi yang sangat rendah sekitar 1% hingga 2% untuk tempoh yang panjang akibat tekanan kos tetap seperti rantaian logistik dan pelaburan panel OLED.

Isu margin ini bertambah parah selepas LG Display menghentikan pengeluaran domestik bagi panel LCD TV, sekali gus mengurangkan kuasa tawar-menawar LG untuk mendapatkan komponen luar pada harga murah.

Sekiranya bahagian pembuatan TV ini dilepaskan, LG dijangka akan mengubah model perniagaan mereka daripada pengeluar perkakasan kepada syarikat berorientasikan platform digital dengan memfokuskan kepada pelesenan sistem operasi webOS untuk monitor, papan tanda digital, dan sistem infotainmen kenderaan.

Walau bagaimanapun, memandangkan aset dan struktur pendapatan TV masih belum diasingkan secara jelas di bawah Bahagian MS, proses penjualan ini mungkin memerlukan pelaksanaaan langkah pemisahan fizikal menjadi entiti korporat bebas terlebih dahulu sebelum penilaian semula nilai syarikat dibuat.

Bagaimanapun, pihak pengurusan LG Electronics telah mengeluarkan kenyataan rasmi dan menegaskan bahawa dakwaan mengenai perbincangan jualan bahagian perniagaan TV tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

Berkaitan

  • TCL Akan Ambil Alih 100% Pegangan Sony EMCS Malaysia
  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • MYTV Mana-Mana Umum Hentikan Pelan Langganan Berbayar

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • PayNet Perluas Pembayaran DuitNow QR Ke 5 Destinasi Luar Negara - Ini Bank Yang Menyokongnya
  • Foxconn Habiskan 1 Trilion Token Bagi Melatih AI FoxBrain Dalam 12 Hari
  • Cara Batalkan Sijil MyDigital ID
  • Cara Beli 'Travel' eSIM Shopee
  • Kerjasama AI Muse Diperluas, NVIDIA Bakal Labur AS$3 Bilion Dalam Meta
  • ChatGPT Kini Boleh Akses iCloud Mail Dan Calendar
  • SK Hynix Umum Untung Lebih RM258 Bilion Dalam Tempoh 3 Bulan
  • Apple Creator Studio Terima Ciri AI Baharu, Pembantu AI Kini Dalam Keynote, Pages Dan Numbers
©2026 WISER.MY