Jika sebelum ini timbul ura-ura mengenai OnePlus bakal menjadi pengeluar bagi peranti dengan sistem cip Snapdragon 855 pertama, ia berkemungkinan besar tidak akan terjadi.
Kalau bukan OnePlus, pasti ramai yang menyangkakan pengeluar gergasi seperti Samsung, Huawei mahupun Xiaomi akan menjadi yang pertama namun percaya atau tidak, ia adalah Lenovo.
Hal ini kerana syarikat berkenaan telah memperkenalkan Lenovo Z5 Pro GT, telefon pertama dengan sistem cip Snapdragon 855. Selain itu, ia juga mempunyai pilihan memori sehingga 12GB RAM serta simpanan dalaman sehingga 512GB.
Peranti ini bakal hadir dengan sistem dwi-kamera utama yang menggabungkan sensor 24MP+16MP manakala gabungan 16MP+8MP pula bagi kamera hadapan.
Lenovo Z5 Pro GT ini juga akan menggunakan skrin paparan penuh Super AMOLED bersaiz 6.39-inci boleh luncur, lebih kurang sama seperti Xiaomi Mi Mix 3. Pengimbas cap jari? Terdapat dalam skrin peranti.
Dari segi bateri pula, telefon ini bakal dikuasakan dengan bateri berkapasiti 3,350mAh. Namun tiada sebarang maklumat mengenai pengecasan pantas diperolehi.
Keluaran terbaru Lenovo ini akan diperkenalkan di China pertengahan bulan hadapan pada harga permulaan CNY2,698(~RM1,641) bagi variasi 6GB RAM/128GB sehinggalah variasi tertinggi 12GB RAM/512GB pada harga CNY4,398(~RM2,675).
Sumber: Weibo