Pengguna LastPass Kini Perlu Tetapkan Kata Laluan Induk Minimum 12 Aksara

Berikutan insiden pencerobohan berprofil tinggi yang berlaku pada tahun 2022, LastPass kini mengumumkan langkah baharu untuk melindungi data pengguna dengan lebih baik melalui tetapan kata laluan induk yang lebih kukuh.

{suggest}

Untuk rekod, kata laluan induk dengan minimum 12 aksara telah menjadi tetapan default sejak 2018. Namun, ketika itu pengguna masih mempunyai keupayaan untuk memilih menetapkan kata laluan induk dengan aksara yang lebih sedikit.

Pada April 2023, semua pelanggan baharu dan mana-mana pelanggan sedia ada LastPass yang mengambil langkah untuk menetapkan semula kata laluan induk, telah dikehendaki membuat atau mengemas kini kata laluan induk kepada sekurang-kurangnya 12 aksara.

Mulai Januari 2024, LastPass akan menguatkuasakan keperluan bahawa semua pengguna perlu menetapkan kata laluan induk dengan sekurang-kurangnya 12 aksara.

Peningkatan kepada minimum 12 aksara ini memerlukan pengguna terlebih dahulu log masuk ke akaun LastPass mereka untuk mengesahkan satu daripada dua senario berikut:

  • Bagi pelanggan yang mengesahkan bahawa mereka sudah mempunyai kata laluan induk dengan 12 aksara atau lebih, tiada tindakan diperlukan kerana sudah mematuhi dasar baharu.

  • Pelanggan yang belum mematuhi dasar baharu akan digesa untuk membuat kata laluan induk baharu dengan 12 aksara atau lebih.


Seperti yang diamalkan beberapa platform lain, LastPass turut mengingatkan pengguna yang ingin mengemas kini kata laluan induk untuk menggunakan huruf besar, huruf kecil, angka, aksara khas serta mudah diingati tetapi tidak mudah untuk diteka.

Selain itu, pengguna juga disarankan untuk tidak menggunakan alamat e-mel, maklumat peribadi, aksara berturutan serta tidak menggunakan kata laluan yang sama seperti akaun atau aplikasi lain.

Menurut LastPass, dasar ini dilaksanakan secara berperingkat, dengan e-mel notifikasi gesaan tukar kata laluan induk akan dihantar kepada pengguna Free, Premium dan Families terlebih dahulu. Seterusnya, akan diikuti oleh pelanggan Teams dan Business menjelang akhir Januari 2024.

Sumber: LastPass

Berkaitan