Kluster Bintang Berusia Lebih 12 Bilion Tahun Ini Berada Di Pusat Galaksi Bima Sakti

Gambar ini merupakan sebuah kluster bintang gergasi yang terletak di buruj Sagittarius yang berada di pusat Galaksi Bima Sakti kita ini. Kluster bintang yang diberi nama NGC 6569 ditemui oleh ahli astronomi William Herschel pada 13 Julai, 1784.

Kapsyen: Imej NGC 6569 yang diambil oleh NASA/ESA melalui Teleskop Angkasa Hubble


Mengikut pengiraan NASA, kluster bintang ini berada dalam jarak sekitar 3,000 parsecs (unit untuk menyatakan jarak ke bintang dan galaksi) atau 9,785 tahun cahaya daripada pusat Galaksi Bima Sakti kita.

Manakala diameter Bima Sakti sangatlah panjang dengan jarak lebih kurang 105,700 tahun cahaya. Selain itu, kluster bintang NGC 6569 dianggarkan berumur 12.8 bilion tahun dan mengandungi lebih daripada 20,000 bintang di dalamnya.





Kluster bintang atau globular adalah sebuah gugusan bintang yang stabil dan rapat antara satu sama lain. Sesetengah kluster globular ini cukup besar sehingga mempunyai jutaan bintang padanya.

Oleh kerana tarikan graviti yang kuat antara bintang-bintang tersebut, kluster bintang ini akan sentiasa berada dalam bentuk sfera dengan pusatnya yang terdiri daripada jumlah bintang yang banyak.

Menariknya, penyelidik dan ahli astronomi pada asalnya tidak dapat mengesan dan mengkaji kluster tersebut. Hal ini kerana debu-debu angkasa yang berterbangan di pusat Galaksi Bima Sakti telah menghalang cahaya daripada kluster tersebut daripada dikesan oleh Teleskop Angkasa Hubble.

Kajian yang dilakukan NASA terhadap entiti kosmos ini membolehkan manusia untuk memahami struktur dan ketumpatan kluster bintang dipusat Galaksi Bima Sakti.

Sumber: Sci-News, scitechdaily