Kerajaan German Perlu Membayar Microsoft Sebanyak USD887 Ribu Bagi Melanjutkan Penggunaan Windows 7

Sebanyak 33 ribu buah komputer dalam kerajaan itu masih menggunakan sistem Windows 7.


Windows 7 telah pun ditamatkan secara rasminya sokongan oleh Microsoft pada 14 Januari 2020 lalu. Bermakna tiada lagi sebarang kemas kini atau penambahbaikan ciri keselamatan yang akan diterima oleh penggunanya.

Walaubagaimanapun, Microsoft masih akan memberikan sokongan kemas kini keselamatan kepada pengguna Windows 7 bagi versi Business dan Enterprise sehingga tahun 2022 dengan syarat, mereka membayar Microsoft.

Itulah yang berlaku kepada Kerajaan negara German apabila dianggarkan sebanyak 33 ribu buah komputer yang digunakan oleh kerajaan itu masih lagi menggunakan sistem operasi Windows 7.

Jadi, kerajaan German perlu membayar Microsoft sekitar USD887,000 bagi membolehkan komputer mereka terus menerima sokongan keselamatan sistem Windows 7.

Microsoft memaklumkan, dalam tahun 2020, harga yang perlu dibayar bagi sokongan Windows 7 untuk sebuah komputer adalah berharga USD25.00.

Walaubagaimanapun, harga itu akan meningkat kepada USD50.00/unit komputer pada tahun 2021 dan USD100.00/unit komputer pada tahun 2022 jika sesebuah organisasi masih mahu menerima sokongan keselamatan untuk sistem Windows 7 dalam operasi mereka.

Sumber: The Verge