Storan SSD (SOLID – STATE Drive) merupakan salah satu jenis storan yang boleh anda pilih dan dapati di pasaran untuk komputer anda. SSD boleh dipilih sebagai storan pilihan utama dalam binaan PC anda, untuk naik taraf binaan yang sedia ada mahupun untuk komputer riba.
Apa Itu SSD?
Berbanding HDD (HARD DISK Drive), SSD tidak menggunakan cakera yang berputar yang menyimpan data sepertinya. Kelajuan dan kecekapan HDD biasanya diukur melalui RPM (Rotation per minute). Tambahan lagi, terma Solid-State bermaksud tiada komponen yang bergerak di dalamnya.
SSD menggunakan flash memory sebagai storannya. Hasilnya, teknologi tersebut mempunyai peningkatan yang sangat tinggi berbanding HDD dari segi kelajuannya sendiri.
Itu merupakan perkara asas tentang storan jenis SSD ini dan berikut merupakan jenis SSD yang ada di pasaran.
{suggest}
SSD SATA 2.5-inci
SSD SATA merupakan jenis yang sangat serasi dengan pelbagai jenis komputer di luar sana terutamanya komputer riba. “2.5 inci” merujuk kepada faktor bentuknya yang bersaiz 2.5 inci.
Tambahan lagi, binaannya yang kompak dan lebih kecil daripada HDD memudahkan jenama lain untuk menghasilkan komputer riba yang lebih kecil serta nipis.
Selain itu, SSD SATA menggunakan lebar jalur dan sambungan yang sama seperti HDD. Oleh itu, ini membuatkan SSD SATA menjadi pengganti yang sangat sesuai untuk storan HDD jika anda ingin menaik taraf.
Kelebihan utama yang anda dapat dengan penggunaan storan ini adalah kelajuan dan kelancaran yang ditawarkan SATA berbanding HDD.
SSD SATA M.2
Peningkatan besar SATA M.2 ini adalah reka bentuknya yang lebih kecil, kompak dan umpama gula-gula getah, memudahkan pengguna untuk memasangnya pada papan induk mahupun pada komputer riba.
Selain itu, SSD SATA M.2 ini masih lagi menggunakan lebar jalur SATA yang standard. Oleh itu, tiada perbezaan dalam kelajuan yang terlalu ketara berbanding SSD SATA 2.5 inci.
SSD NVMe M.2
SSD M.2 NVMe ini mempunyai reka bentuk yang sama seperti SATA M.2 tetapi yang membezakan adalah storan ini tidak lagi menggunakan lebar jalur SATA yang standard.
Oleh itu, SSD NVMe ini mampu memberikan prestasi dan kelajuan yang jauh lebih baik daripada had kelajuan SATA. Tetapi kekal dalam binaan M.2 yang kompak dan kecil.
Untuk pengetahuan anda, NVMe bermaksud “Non-Volatile Memory Express”. Perkataan yang penting padanya adalah Express kerana ia merujuk kepada lebar jalur yang digunakan SSD ini.
SSD NVMe M.2 menggunakan lebar jalur PCI Express berbanding lebar jalur SATA yang lebih perlahan daripadanya. Justeru, NVMe mampu memberikan dan mencapai prestasi kelajuan dalam membaca (read) dan menulis (write) yang lebih pantas berbanding SSD SATA.
Storan SSD yang telah saya senaraikan itu merupakan antara jenis SSD yang tersedia di luar sana untuk komuniti PC dan juga anda.
Saya berharap penulisan ini dapat membantu anda untuk lebih memahami akan jenis dan saiz storan SSD yang ada pasaran ketika ini. Tidak lupa juga supaya anda dapat memilih SSD yang terbaik untuk komputer anda.
Sumber: CG Director
Gambar utama: Tom’s Hardware