Benarkah 'Wi-Fi Scanning' Bahaya? Ini Fungsi Sebenarnya Yang Anda Perlu Tahu

Saudara AriffMac beberapa hari lalu ada menulis tips berdasarkan artikel diterbitkan 7News yang mengambil petua daripada seorang penggiat kandungan di TikTok, @tatechtips. Anda boleh bacanya di SINI.

Dakwanya, pengguna harus mematikan ciri 'Wi-Fi Scanning' jika khuatir dengan keselamatan mereka.

Kita tahu TikTok sudah menjadi medan perkongsian santai dan ilmiah. Namun, banyak juga pihak cuba meraih perhatian tanpa menjelaska apa sebenarnya ciri tersebut, bagaimana ia berfungsi dan kenapa ia boleh berisiko membahayakan pengguna.


Apa itu Wi-Fi Scanning?


Di iOS, tiada pilihan untuk fungsi ini. Jadi, kita merujuk pada Android saja kerana pengguna mempunyai pilihan untuk hidup dan matikan ciri dinamakan Wi-Fi Scanning ini.

Wi-Fi Scanning sebenarnya salah satu ciri untuk peranti dan aplikasi dalamnya mendapatkan lokasi anda dengan lebih tepat melalui Wi-Fi terdekat.

Ya, walaupun anda sudah off Wi-Fi di telefon, tapi jika anda hidupkan Wi-Fi Scanning, ia tetap akan mencari Wi-Fi terdekat tanpa anda sedar untuk dapatkan lokasi.

Tujuannya ialah untuk benarkan Google dan aplikasi mendapat lokasi spesifik anda dengan lebih tepat. Ia juga dikatakan lebih jimat bateri berbanding menggunakan GPS.



Melaluinya, telefon/aplikasi dapat gunakan data daripada Wi-Fi tersebut untuk koordinasi pengguna dengan ketepatan sekitar 50 meter walaupun ciri GPS telah dimatikan.

Jadi, apabila anda mahu menghantar lokasi pada orang lain ataupun menggunakan aplikasi yang perlukan lokasi yang tepat, ciri ini membantu.

Sesetengah pengguna juga berkata ciri ini membantu mereka menjejak peranti yang mereka yang hilang atau dicuri.

Diingatkan, ciri ini hanya untuk ketepatan lokasi, bukannya sambungan internet.

{suggest}

Betul ke ciri ini bahaya?


Ciri ini beri manfaat pada pengguna tapi tidak dinafikan cara ia berfungsi boleh mendedahkan maklumat peranti kepada penggodam.

Dalam video @tatechtips dan perkongsian oleh NordVPN, dengan hidupkan Wi-Fi Scanning, peranti sentiasa menghantar permintaan (probe request) untuk menyambung dengan rangkaian sekeliling untuk mendapatkan lokasi tepat.

Beberapa maklumat yang turut dihantar termasuklah:

  • Alamat MAC peranti anda yang boleh mendedahkan jenama peranti

  • Alamat MAC router yang disambung (jika berjaya)

  • Data SSID peranti yang dedahkan nama sambungan Wi-Fi yang dipercayai peranti


Jika penggodam itu memang serius mahu menganiaya dan mempunyai kepakaran, salah satu perkara yang dia boleh lakukan ialah mendapatkan tempat tinggal, pejabat anda dan lain-lain berdasarkan nama Wi-Fi yang pernah disambung.


Jadi, nak hidupkan atau matikan?


Mestilah ia terpulang pada anda sebagai tuan peranti.

Jika anda takut dengan risiko anda penggodam mampu curi data anda dan sebagainya, matikan saja.

Jika anda mahu urusan lebih mudah, lancar dan lokasi yang lebih jitu di aplikasi contohnya WhatsApp, Foodpanda, Grab, Maps, Waze, maka hidupkan saja.

Saya secara peribadi mematikannya bukan kerana faktor keselamatan tetapi penggunaan bateri. Saya hanya hidupkannya apabila perlu contohnya menggunakan Lalamove dan seumpamanya supaya ia dapat mengesan lokasi saya dengan tepat.

Sumber: Finder, Ubiquiti, NordVPN66