Malaysia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa besar e-sukan selepas muncul juara Kejohanan Dunia IESF Mobile Legends: Bang Bang 2025. Pasukan negara menewaskan Kemboja 3-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Quill City Mall, Kuala Lumpur, malam tadi, memetik laporan Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan ini sebagai petunjuk bahawa masa depan e-sukan Malaysia berada pada landasan yang sangat positif.
Malaysia bukan sahaja berjaya menganjurkan kejohanan bertaraf dunia, tetapi juga menunjukkan prestasi kompetitif yang konsisten di pentas antarabangsa.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan industri e-sukan kini semakin diperkukuh melalui sokongan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Antara institusi terlibat termasuk GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang menawarkan latihan serta subjek berkaitan kandungan e-sukan. Usaha ini dilihat dapat menyediakan tenaga mahir untuk mengembangkan industri ke tahap lebih profesional.
Kejayaan Malaysia mempertahankan gelaran juara dunia membuktikan bahawa pembangunan atlet, pasukan dan ekosistem tempatan semakin matang.
Dengan pertumbuhan pesat e-sukan global, kejayaan ini dijangka terus mengangkat reputasi Malaysia sebagai hab e-sukan serantau, selain merangsang lebih banyak peluang dalam bidang pembangunan kandungan, latihan dan penganjuran acara.
Tumpuan skuad negara selepas ini adalah sukan SEA yang akan bermula minggu ini. Semoga mereka berjaya membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.
Gambar: Threads Ahmad Zahid Hamidi
{suggest}
