Kaspersky Mendakwa Berlaku Penyebaran Perisian Hasad Yang Menyamar Sebagai Buku Teks Dan Esei Digital Dikalangan Pelajar

Serangan mensasarkan pelajar kolej dan universiti.


Jika anda adalah para pelajar kolej atau universiti yang sering memuat turun buku atau esei berformat digital dari sumber yang tidak sah, anda mungkin sebenarnya telah memuat turun perisian hasad .

Penyelidik keselamatan dari Kaspersky dalam laporan mereka yang bertajuk "Student surprise: malware masked as textbooks and essays" mendakwa mereka telah membuat penemuan di mana berlakunya penyebaran perisian hasad yang didapati menyamar dalam bentuk buku dan esei digital bagi mengelirukan pengguna.

Sasaran serang pula dilakukan secara khusus terhadap para pelajar kolej dan universiti yang suka memuat turun buku-buku tersebut dari sumber tidak sah.

Teknik mengelirukan ini sememangnya diketahui sangat popular terjadi pada kandungan video atau "cheat" permainan video, tetapi kini ia didapati tidak terhad pada itu sahaja.

Para pelajar kolej atau universiti pula sememangnya lebih gemar mendapatkan buku teks atau esei dari sumber tidak sah secara percuma sebagai alternatif kepada sumber sah yang berbayar.

Menurut Kaspersky, sebanyak 233 ribu kes melibatkan perisian hasad yang menyamar dalam bentuk esei telah dimuat turun oleh 74,000 pengguna.

Manakala sebanyak 122,000 serangan telah dikesan oleh Kaspersky yang menyamar dalam bentuk buku teks digital.

Malah mereka turut mendapati seramai 30,000 pengguna telah membuka fail-fail buku teks perisian hasad tersebut.

Secara keseluruhannya, setakat ini lebih daripada 330,000 serangan perisian hasad telah dikesan berlaku terhadap institusi pendidikan yang dibuat menerusi teknik ini.

Penyamaran pula tidak tetap pada kategori buku teks tertentu. Sebaliknya berlaku pada semua kategori buku teks dan esei termasuklah matematik, sains dan lain-lain.

Perisian-perisan hasad ini pula berfungsi dengan pelbagai tujuan termasuklah memasang aplikasi merbahaya ke dalam komputer pelajar seperti perisian hasad kriptowang serta menyusup masuk ke dalam sistem sesebuah intitusi bagi mencuri data sulit pelajar serta lain-lain.

Penyebaran perisian hasad ini boleh berlaku secara dalaman termasuklah menerusi perkongsian fail e-mel dan peranti storan USB.

Oleh itu, sekiranya anda adalah pelajar yang sering mendapatkan buku-buku atau esei secara percuma yang dimuat turun dari sumber tidak sah, anda dinasihatkan supaya elakkan daripada berbuat demikian.

Berkaitan