Jualan Mi 10 Pro Dihentikan, Xiaomi Dijangka Melancarkan Mi 11 Tidak Lama Lagi

Awal minggu ini, Xiaomi dilaporkan tidak lagi menawarkan Mi 10 Pro untuk pasaran China. Terbaru, model asas Mi 10 juga dilihat tidak lagi ditawarkan di beberapa kedai jualan negara itu. Pada masa ini, hanya varian asas 8GB+128GB yang tersedia melalui laman web rasminya.

Kapsyen: Mi 10


Imbas kembali, Xiaomi melancarkan Mi 10 dan Mi 10 Pro pada Februari tahun ini. Ia kemudian memperkenalkan Mi 10 Ultra sempena ulangtahun ke-10 syarikat itu pada Ogos lalu.

Hanya selepas 9 bulan dilancarkan, Xiaomi menghentikan penjualan Mi 10 Pro dan tidak lagi menambah stok Mi 10 . Ia kemungkinan disebabkan Mi 10 Ultra yang mempunyai penawaran lebih baik dengan sekitar harga yang sama.

Namun, terdapat juga kemungkinan lain di mana Xiaomi dikatakan dalam persediaan untuk menghasilkan siri Mi 11. Syarikat dari China itu dilaporkan bakal melancarkan Mi 11 pada suku pertama tahun hadapan.

Mi 11 turut dijangka akan menjalankan Snapdragon 875 dan akan ditawarkan secara eksklusif di China terlebih dahulu sebelum dipasarkan secara global.

Sumber: Gizmochina