Jualan Awal iPhone 14 Plus Dilapor Lebih Rendah Daripada Jangkaan

Hanya kurang seminggu selepas iPhone 14 Plus berada di pasaran, laporan terbaharu kini menyatakan jualan awal bagi kedua-dua model iPhone 14 dan iPhone 14 Plus adalah lebih rendah daripada jangkaan.

Menurut laporan DigiTimes, jualan iPhone 14 dan iPhone 14 Plus dikatakan kurang mendapat perhatian berikutan sambutan yang lebih menggalakkan dan tertumpu kepada iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max.

Walaupun terdapat perbezaan dalam prestasi jualan antara model iPhone versi Pro dan bukan Pro tahun ini, jumlah penghantaran model ‌iPhone 14‌ berkemungkinan hampir sama dengan barisan iPhone 13 pada separuh kedua 2021.

Bagaimanapun, jika jualan iPhone 14 dan iPhone 14 Plus tidak menunjukkan peningkatan dalam tempoh terdekat, Apple mungkin akan mengurangkan stok dan pesanan komponen untuk menghasilkan peranti itu pada separuh kedua bulan Oktober.

{suggest}

Sebagai tambahan, jika Apple mengurangkan pesanan dengan lebih agresif daripada jangkaan, maka jumlah penghantaran barisan ‌iPhone 14‌ menjelang akhir tahun ini mungkin adalah lebih rendah berbanding siri ‌iPhone 13‌ dalam jangka masa yang sama pada tahun lepas.

Dalam pada itu, analisis menunjukkan Apple menjangkakan penghasilan kira-kira 90 juta iPhone baharu secara keseluruhan pada separuh kedua 2022, namun ia mungkin akan dikurangkan kepada 80 juta unit berikutan permintaan yang lemah.

Dengan maklumat terbaharu ini, ia mencerminkan beberapa laporan lain yang mendakwa ‌iPhone 14‌ dan ‌iPhone 14‌ Plus tidak memenuhi jangkaan jualan Apple.

Sumber: MacRumors