Jangka Hayat Telefon Pintar, Barangan Elektrik Dan Elektronik Lain Hanya Antara 2 Hingga 12 Tahun Sahaja - JAS

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyatakan bahawa setiap peralatan elektrik dan elektronik mempunyai jangka hayat yang tersendiri sebelum ia menjadi e-waste.

Jangka hayat barangan ini pula berbeza bergantung kepada kualiti dan cara seseorang pengguna itu mengendalikan barangan-barangan tersebut.

Sebagai contoh menurut JAS, jangka hayat bagi sebuah unit telefon pintar adalah selama 2 tahun.

Jangka hayat bagi komputer riba pula adalah selama 3 tahun. Diikuti oleh televisyen (5 tahun), mesin basuh (8 tahun), peti sejuk (10 tahun) dan pendingin hawa (12 tahun).

Sehubungan itu, JAS menasihatkan pengguna supaya menggunakan peralatan elektrik dan elektronik  dengan cermat bagi meningkatkan jangka hayat dan mengurangkan jumlah e-waste yang dihasilkan.

Bagi melupuskan e-waste pula pengguna disyorkan menghantarkannya ke pusat pengumpulan berdaftar sekiranya barangan elektrik dan elektronik telah rosak.



E-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama / usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa.

Di Malaysia, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama,

Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Pada 11 Mac 2021 lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah pun melancarkan aplikasi MyEwaste untuk peranti pintar Android dan iOS.

Aplikasi tersebut dibangunkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) yang bertujuan bagi memudahkan orang awam mengetahui lokasi-lokasi pusat pengumpulan berdaftar  barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak.



Sumber: JAS

Baca juga:

Berkaitan