Jangan Cas Jam Pintar Samsung Gear S3 Selain Dari Pengecas Asal

Apabila dicas, setiap peranti mungkin mempunyai had kuasa yang berlainan. Pengguna mungkin mengganggap tiada apa yang akan berlaku kerana di mata mereka, pengecas berlainan jenama atau berlainan model mempunyai fungsi dan had kuasa yang sama dengan pengecas asal. Bagi jam tangan pintar Samsung Gear S3 dan Gear S2, Samsung memperkenalkan pengecasan tanpa wayar. Sudah pasti syarikat itu mahukan pengguna menggunakan produk yang berkualiti dari mereka, tetapi harga pengecas itu mungkin sedikit mahal berbanding jenama lain.

Samsung-Gear-S3-Do-not-wireless-use-chargers-OEM- Kapsyen: Kredit Gambar: Tizen Experts


Memetik berita dari laman Tizen Experts, beberapa isu telah timbul apabila pengguna Gear S3 mengecas jam tangan pintar itu menggunakan pengecas selain dari pengecas asal keluaran Samsung. Dilaporkan oleh seorang pengguna yang bernama Lamar Jackson, beliau mengecas Gear S3 menggunakan pengecas dari jenama Mophie dan mendapati jam tangan pintar beliau terbakar. Kejadian yang hampir serupa turut berlaku kepada pengguna lain seperti yang diberitakan dilaman Sam Mobile dimana ia melibatkan Gear S3 Classic. Penulis memberitahu, beliau menggunakan Tronsmart Chocolate wireless charger dan mendapati jam tangan pintar menjadi panas bila dicas seharian. Selepas itu beliau meletakkan jam tangan pintar tersebut ke pengecas asal dan ia memaparkan mesej "terlalu panas".

Diruangan Reddit pula, ada pengguna yang menyatakan pergelangan tangan beliau hampir melecur apabila Gear S3 beliau dicas menggunakan pengecas untuk model Gear S2. Walaupun sama dari segi Voltan dan kuasa, ia jelas menunjukkan Gear S3 sama sekali tidak sesuai dicas dengan pengecas selain dari pengecas yang telah dikhaskan. Perkara ini mungkin disebabkan muncung pengecas Gear S3 dan Gear S2 sedikit berbeza dari segi saiz.

Bagi anda yang memiliki peranti yang dimaksudkan, sila ambil perhatian tentang perkara ini kerana kita tidak mahu insiden yang tidak diingini berlaku. Belilah peranti asal yang telah dikhaskan, walaupun sedikit mahal tetapi terbukti keselamatanya.

Sumber: Tizen Experts, Sam Mobile, Reddit Via Hardwarezone Malaysia