iPhone SE, 6s Dan 6s Plus Mungkin Akan Terima iOS 14

Setiap tahun pengguna iPhone pastinya menunggu-nunggu kehadiran kemaskini sistem operasi iOS. Sebelum ini, naik taraf kepada iOS 13 telah memperlihatkan sokongan untuk iPhone 5s ditamatkan.

Ini sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan pemilik model lama, adakah peranti mereka akan menerima iOS 14 ataupun tidak. Berdasarkan khabar angin terbaru, kesemua model yang menyokong iOS 13, akan menerima iOS 14 apabila penawaran dibuat kelak.

Ia bermaksud, model-model yang dilancarkan hampir 5 tahun lalu seperi iPhone 6s, 6s Plus dan SE akan menemani peranti terbaru lain dalam mengoperasikan iOS 14. Selain itu, iPod touch generasi ke- 7 juga turut layak menerima sistem operasi terbaru tersebut.

Walaupunbegitu, khabar angin tersebut memaklumkan senarai itu masih belum muktamad. Berkemungkinan iPhone 6s dan SE akan terkeluar dari senarai kemaskini iOS 14.

Bagi segmen tablet pula, dikhabarkan dua model akan dikeluarkan dari senarai kemaskini iPadOS akan datang. Model tersebut adalah iPad Mini 4 serta iPad Air 2 yang masing-masing diperkenalkan sekitar 2015 dan 2014 lalu.

Ini meninggalkan jumlah model yang akan menyokong kemaskini baru iPadOS kepada 9 sahaja iaitu iPad Pro 12.9 inci, iPad Pro 11 inci, iPad Pro 10.5 inci (2017), iPad Pro 9.7 inci (2016), iPad 10.2 inci, iPad 9.7 inci (2018), iPad 9.7 inci (2017), iPad Mini (2019) dan iPad Air (2019).

Buat pengguna iPhone 6s, 6s Plus dan SE, ketika ini ia mungkin khabar berita yang menggembirakan anda. Tetapi sebelum menarik nafas lega, kita harus menunggu pengumuman rasmi daripada Apple sendiri.

Sumber: iPhonesoft.fr