iPad Pro 2019 Mungkin Akan Dilengkapi Rekaan Kamera Sepertimana iPhone 11 Pro

Apple dijangka akan perkenalkannya dalam bulan Oktober nanti.


Sebuah laman sesawang bernama Sonny Dickson telah mendedahkan 'mockup' bagi rekaan model terbaru iPad Pro yang dijangka akan diperkenalkan Apple dalam bulan Oktober nanti.

Menurut laman tersebut, mereka memperolehi mockup itu dari sumber yang diyakini kesahihannya berdasarkan kepada ketepatan pendedahan sebelum ini oleh sumber yang tidak dinamakan mereka berkaitan produk-produk Apple.

Daripada mockup yang dipercayai adalah rekaan akhir bagi iPad Pro itu, boleh dilihat peranti tersebut dilengkapi dengan rekaan kamera sepertimana yang digunakan pada iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max yang baru sahaja diperkenalkan Apple minggu lalu.

Kapsyen: Kredit: Sonny Dickson


Cuma apa yang membezakan rekaan kamera pada mockup iPad Pro itu dengan iPhone 11 Pro adalah ia tiada permukaan kaca sepertimana yang ada pada model iPhone 11 Pro. Adakah ia sengaja dibiarkan begitu atau ia masih tidak siap sepenuhnya tidaklah pula diketahui kerana tidak dimaklumkan oleh sumber laman tersebut.

iPadOS, sistem operasi terbaru yang dibangunkan Apple khusus bagi peranti iPad akan dilepaskan pada 1 Oktober nanti. Apple mungkin akan mengadakan sekali lagi acara istimewa mereka dalam bulan itu nanti bagi memperkenalkan pula barisan model terbaru iPad Pro serta komputer Mac mereka.

iPad Pro kali terakhir dikemas kini perkakasannya adalah pada 30 Oktober tahun lalu menerusi model generasi ke-3 nya.

Berkaitan