iOS 14.5 Bakal Hadir Dengan Ciri Nyahkunci iPhone Melalui Apple Watch, Jika Memakai Pelitup Muka

Pada masa ini, jika memakai pelitup muka, Face ID tidak dapat berfungsi dengan baik dan memerlukan nyahkunci iPhone dilakukan dengan memasukkan kata laluan.

Melalui kemas kini iOS 14.5 yang akan dilepaskan tidak lama lagi, Apple akhirnya menyediakan penyelesaian bagi membolehkan iPhone dengan sokongan Face ID dinyahkunci lebih mudah ketika memakai pelitup muka.

Pada iOS 14.5, terdapat pilihan untuk nyahkunci iPhone dengan Face ID melalui Apple Watch yang dipadankan bersama. Sekiranya anda memakai Apple Watch yang tidak dikunci dan menggunakan Face ID seperti biasa ketika memakai pelitup muka, iPhone akan dinyahkunci selepas imbasan wajah separa dilakukan.

Getaran haptik akan dirasakan pada Apple Watch ketika iPhone dinyahkunci. Bagaimanapun, ciri ini perlu diaktifkan secara manual melalui tetapan iPhone serta Apple Watch perlu berada berdekatan. Juga, ia hanya tersedia bagi sokongan nyahkunci, manakala pembelian di App Store atau pembayaran Apple Pay masih perlu dilakukan menggunakan Face ID.

Selain nyahkunci iPhone menggunakan Apple Watch, iOS 14.5 juga bakal dilengkapi dengan sokongan alat kawalan PS5 dan Xbox Series X.

Sumber: MacRumors