Intel nampaknya memang betul-betul terkesan selepas Apple tidak lagi mahu menggunakan cip pemprosesan daripada mereka. Sebelum ini, Intel mendakwa bahawa cip mereka jauh lebih berkuasa berbanding cip Apple M1 Max.
Bahkan, laporan terdahulu juga mengesahkan memang benar cip generasi ke-12 Intel untuk desktop berkemampuan mengalahkan M1 Pro dan M1 Max tetapi perlu menggunakan kuasa yang lebih banyak.
Kini, Intel mengumumkan cip pemprosesan generasi ke-12 buat komputer riba pula. Sekali lagi, mereka mendakwa cip baharu ini jauh lebih pantas berbanding Apple M1 Max yang ada pada MacBook Pro 16 inci.
Bukan itu sahaja, Intel turut menyatakan bahawa Core i9 Gen-12 ini adalah cip pemprosesan paling padu untuk komputer riba.
Sebagai perbandingan, cip M1 Max hadir dengan 10 teras di mana 8 teras prestasi dan 2 teras kecekapan. Manakala, Core i9 Gen-12 pula mempunyai 14 teras dengan 6 teras prestasi dan 8 teras kecekapan. Sementara kelajuannya mencapai sehingga 5.0GHz serta pengguna tenaga maksimum 115W.
Berdasarkan carta prestasi yang dikongsikan, Intel Core i9-12900HK berada di puncak carta. Kemudian diikuti Intel Core i9-11980HK, Apple M1 Max dan Ryzen 9 5900HX.
Namun, prestasi ini perlu diuji terlebih dahulu apabila ia digunakan komputer riba. Barulah boleh tahu siapa yang ‘king’.
Biarpun begitu, Apple dilihat tidak kisah pun kerana mereka menanggap perpisahan dengan Intel telah memberikan sinar baharu buat mereka.
Tambahan lagi, Apple pun dijangka bakal memberikan saingan sengit yang mana cip M2 mungkin diperkenalkan tidak lama lagi.
Apa-apa pun, yang menang semestinya pengguna kerana kita mempunyai pilihan lebih banyak. Situasi seperti ini sama seperti Intel vs AMD beberapa tahun yang lalu.
Sumber: macrumors
Baca juga: