Instagram Live Kini Menyokong Penstriman Sehingga 4 Jam

Instagram telah mengumumkan beberapa kemas kini bagi platform penstriman dalam aplikasi itu. Berbanding 60 minit sebelum ini, Instagram kini melanjutkan tempoh penstriman di Instagram Live sehingga 4 jam tanpa henti.

Instagram menyatakan, ia bertujuan bagi membantu mereka yang terpaksa beralih ke acara maya berikutan pandemik COVID-19. Antaranya termasuk pengajar yoga dan kecergasan, guru, pemuzik, artis dan sebagainya.

Selain itu, pengguna juga boleh melihat kembali penstriman langsung tersebut pada bahagian "Archive", sama seperti Stories dan Posts. Bagaimanapun, Live tersebut hanya akan tersimpan selama 30 hari sebelum dipadamkan. Pengguna juga boleh memuat turun kandungan tersebut.

https://twitter.com/instagram/status/1321107756494049283

Dalam pada itu, Instagram turut menambah ciri "Live Now" pada IGTV. Kesemua ciri baharu ini akan tersedia kepada semua pengguna secara global bermula hari ini, selagi mana mereka tidak mempunyai sejarah melanggar polisi Instagram.

Sumber: TechCrunch