Ciptaan inovatif oleh pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pulau Pinang telah melayakkan mereka menjuarai kategori sekolah menengah dalam pertandingan Junior Innovathon Musim Kedua 2026.
Tampil dengan nama Kumpulan Robotiyaz, pasukan ini muncul juara menerusi produk Roadbloc, sebuah inovasi keselamatan jalan raya yang turut memfokuskan kelestarian alam sekitar.
Roadbloc adalah penghadang keselamatan jalan raya yang dihasilkan daripada tayar terpakai yang dikitar semula
Bukan sahaja bertindak sebagai penghadang jalan raya, malah Roadbloc juga boleh digunakan dalam situasi seperti banjir, tanah runtuh dan kawasan pembinaan.
Idea yang menggabungkan keselamatan jalan raya dan kelestarian alam sekitar ini membolehkan pasukan ini membawa pulang RM40,000, serta RM8,000 bagi Anugerah Guru dan Sekolah Inovasi Terbaik.
Program anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama KKDW, KPM, MOSTI dan Kementerian Komunikasi ini menghimpunkan 2,092 pasukan sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara bagi membangunkan idea dan bersaing dalam cabaran inovasi berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Malah, CelcomDigi turut terlibat sebagai panel penjurian akhir serta memperkenalkan Anugerah “Tech for Impact” sebagai salah satu kategori untuk Junior Innovathon 2026.
Pentas Akhir Junior Innovathon 2026 telah pun berlangsung pada 1 November lepas (Ahad) yang ditayangkan secara langsung di saluran RTM TVI, jam 9.00 malam.
https://x.com/RTM_Malaysia/status/2116092745945338213?a=fIkuSnm2_DV2GaT0O1w&s=20



