Ini Mungkin Huawei Nova 4, Skrin Paparan Tanpa Takuk Tapi Dengan Lubang

Dari skrin paparan dengan bezel yang tebal berubah kepada takuk yang pelbagai bentuk, panel hadapan untuk peranti akan datang nampaknya bakal menampilkan wajah yang baru.

Semua sudah mengetahui Samsung sudah memperkenalkan empat jenis panel hadapan yang mana salah satunya adalah Infinity-O dan diramalkan dipasang pada Samsung Galaxy A8s.

Mengetengahkan lubang pada sisi atas skrin, rekaan ini dikatakan turut tampil pada peranti Huawei iaitu Nova 4.

Perkara ini pertama kali menjadi bualan apabila Huawei memuat naik imej acah yang membayangkan model baru tersebut.



Ia kemudiannya sekali lagi mendapat perhatian pengguna internet apabila satu foto berjaya dirakam, didakwa sebagai Huawei Nova 4 yang sebenar.



Telefon terbabit dilindungi dengan sarung pelindung yang agak tebal, mungkin bertujuan menyembunyikan rekaan sebenar peranti itu.

Kelihatan juga bicu audio 3.5mm berada disebelah atas berhampiran dengan lubang kamera hadapan.

Khabar angin lain pula menyatakan rekaan panel belakang Nova 4 akan mirip seperti Huawei P20 Pro.



Spesifikasi ramalan yang bakal dibawa pada Nova 4 adalah cip Kirin 980, RAM 6GB dan EMUI 9 yang berasaskan Android Pie 9. Huawei Nova 4 mungkin diumumkan pada Januari hadapan.

Sumber: Phone Arena