Ini Merupakan Imej Rasmi OnePlus 8 - Hadir Dengan 3 Pilihan Warna Termasuk 'Pelangi'

Dalam masa sekitar 2 minggu lagi, siri OnePlus 8 akan dilancarkan. Sebelum ini kita telah melihat imej janaan 3D menggunakan komputer melalui jangkaan penganalisis teknologi. Namun hari ini, buat pertama kalinya kita dapat melihat imej peranti ini secara rasmi dimuat naik oleh winfuture.de.

OnePlus 8, iaitu salah satu dari varian siri yang ditawarkan, akan mempunyai sehingga 3 pilihan warna. Ia akan hadir dengan pilihan warna ringkas hitam, warna hijau yang baharu, dan juga satu pilihan warna meriah seakan 'pelangi' digelar "Glow".



 

Melihat kepada peranti, paparan bakal menggunakan rekaan punch-hole dengan saiz bezel yang minimal pada bahagian atas dan bawah. Jika diperhatikan, OnePlus juga akan menyertakan paparan melengkung pada varian biasa ini dan tidak lagi eksklusif untuk versi Pro sahaja.



Beralih kepada belakang, terdapat modul merangkumi 3 lensa dengan satu unit pancaran LED diletakkan dibawahnya. Berkenaan spesikasi, ia akan didatangkan dengan paparan AMOLED bersaiz 6.55 inci FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Lensa kamera belakang pula adalah gabungan 48MP + 16MP + 2MP.

Ia akan dilengkapkan dengan cip pemprosesan Snapdragon 865 dengan sokongan 5G. Bateri dikatakan akan diperah dari kapasiti unit bersaiz 4,300mAh disokong oleh pengecasan pantas 30W. Buat masa ini hanya varian OnePlus 8 sahaja yang dimuat naik dan kami juga seperti anda masih menunggu bilakah model OnePlus 8 Pro pula membuat kemunculan.

Terdapat banyak perbezaan antara OnePlus 8 dan 8 Pro dimana saiz peranti, spesifikasi paparan, RAM, teknologi bateri, dan piawaian perlindungan kalis air dan debu adalah berbeza. Siri OnePlus 8 dikhabarkan akan dilancarkan 15 April 2020 ini. Sebelum ini, tarikh pelancarannya terpaksa ditunda disebabkan wabak pandemik Covid-19.

Sumber: winfuture

Berkaitan