Ingin Vaksinkan Anak? Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Daftar

Program vaksinasi kanak-kanak telah bermula 13 Februari lalu melibatkan penduduk di Lembah Klang. Ia akan diperluas ke seluruh negara tidak lama lagi. Dengan gelombang Omicron, ramai ibu bapa telah mendaftarkan tanggungan mereka untuk turut sama mendapatkan perlindungan vaksinasi.

Anda boleh baca di SINI untuk cara-cara mendaftar anak/tanggungan anda untuk divaksinasi di bawah program PICKids.

Setakat ini, seramai 79,393 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 buatan Pfizer.

Tetapi, apa yang anda perlu tahu tentang PICKids ini? Berikut ialah soalan lazim yang telah dijawab oleh KKM.
Adakah vaksinasi terhadap kanak-kanak diwajibkan?


  • Tidak. Ia adalah sukarela dengan persetujuan ibu bapa atau penjaga.


Siapa yang akan beri kebenaran bertulis bagi kanak-kanak?


  • Ibu bapa atau penjaga yang sah di sisi undang-undang (jika kanak-kanak tinggal bersama penjaga dan ibu bapa tidak dapat dihubungi).


Apakah jenis vaksin yang diberikan pada kanak-kanak?


  • Buat waktu ini, KKM hanya meluluskan vaksin Comirnaty daripada Pfizer-BioNTech sahaja.

  • Dos yang diberikan pula lebih rendah, hanya 1/3 daripada dos dewasa iaitu sebanyak 0.2ml yang mengandungi 10 mcg dalam 1 dos.


Berapa dos dikenakan pada mereka?


  • Mereka juga akan diberikan 2 dos dengan selang masa 8 minggu.


Siapakah yang layak untuk mendapatkan vaksinasi?


  • Semua kanak-kanak yang berumur 5 hingga bawah 11 tahun mengikut tarikh lahir yang berada di:

    • Institusi pendidikan (sekolah, prasekolah) dan institusi perlindungan.

    • Dalam kategori kumpulan rentan seperti kanak-kanak orang Asli, kanak-kanak OKU, gelandangan, pelarian UNHCR.

    • Bukan warganegara.




Golongan kanak-kanak manakah yang perlu mendapatkan penilaian pegawai perubatan atau pakar terlebih dahulu sebelum divaksin?


  • Mereka yang:

    • Mempunyai sejarah alahan yang teruk.

    • Mempunyai alahan yang teruk kepada vaksin lain sebelum ini.

    • Mengalami masalah pendarahan (bleeding disorder) seperti Haemophilia, Idiopathic Thrombocytopenic Purpura (ITP) dan sebagainya.

    • Sedang dalam rawatan ubatan pencair darah.

    • Sedang mendapat rawatan yang merendahkan sistem imun badan.

    • Telah menerima vaksin COVID-19 daripada jenama yang lain.

    • Mempunyai sejarah penyakit myocarditis dan pericarditis.




Siapakah yang tidak layak untuk divaksin?


  • Kanak-kanak yang tidak layak divaksin ialah mereka yang mempunyai:

    • Sejarah reaksi alahan teruk atau anafilaksis terhadap ubat, makanan atau bahan yang tidak diketahui.

    • Reaksi alahan dalam 72 jam selepas menerima dos pertama.

    • Reaksi alahan terhadap bahan dalam kandungan vaksin.




Bagaimana caranya untuk saya daftar vaksinasi untuk anak saya?


  • Ibu bapa boleh mendaftar vaksinasi untuk anak-anak melalui MySejahtera. Anda boleh baca di SINI untuk langkah terperinci.

  • Jika anak anda yang mempunyai peranti sendiri, anda boleh melakukan pendaftaran menerusi akaun MySejahtera mereka.


Bolehkah ibu bapa/penjaga memilih tarik, masa dan PPV?


  • Ya, boleh. Namun ia hanya boleh dilakukan semasa menempah slot janji temu dalam MySejahtera, bukan selepas slot janji temu diberikan.

  • Seperti dimaklumkan, setakat ini hanya terhad untuk penduduk di Lembah Klang.


Salah seorang anak saya telah mendapat janji temu namun anak saya yang lain masih belum. Bolehkah saya bawa kesemua anak/tanggungan untuk turut divaksin bersama?


  • Tidak. Slot janji temu yang diberikan dikhaskan untuk individu, bukan kumpulan.


Bolehkah jika saya bawa anak saya untuk divaksin secara walk-in?


  • Tidak. Vaksinasi secara walk-in di PPV seluruh negara buat masa ini terhad untuk orang dewasa sahaja.


Di mana vaksinasi kanak-kanak ini dijalankan?


  • PICKids ini melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di hospital, PPV Integrasi, PPV Offsite, PPV hospital swasta dan juga sekolah.

  • Bagi pemberian vaksin di sekolah, senarai nama kanak-kanak yang layak akan disediakan oleh pihak sekolah. Tarikh janji temu akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibubapa/penjaga.





Adakah vaksinasi kanak-kanak ini akan dijalankan melalui sekolah juga?


  • Ya. Pihak kesihatan negeri akan menjalankan PICKids melalui sekolah secara berperingkat selari dengan bekalan vaksin yang ada.

  • Setakat ini, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengenal pasti sebanyak 1,055 buah sekolah untuk dijadikan PPV bermula minggu hadapan.

  • Janji temu serta sijil digital akan diberikan melalui MySejahtera. Namun, segala urusan dan butiran untuk vaksinasi mengikut sekolah diberi melalui guru.


Bagaimana jika saya telah terlepas janji temu?


  • Anda boleh menempah slot janji temu baharu melalui MySejahtera.


Apa yang perlu saya lakukan selepas divaksin?


  • Pantau anak anda dalam masa 7 hari selepas divaksin kerana kesan sampingan kebiasaannya muncul dalam masa tempoh tersebut.

  • Benarkan mereka melakukan aktiviti harian seperti biasa namun elakkan mereka daripada melakukan aktviti lasak seperti berjoging, berbasikal, berenang dan aktiviti fizikal yang lain.

  • Pastikan mereka mendapat rehat, makan dan minum yang cukup.

  • Jika ada perubahan seperti mereka menjadi kurang aktif atau kurang makan, bawa anak anda berjumpa dengan doktor.


Apakah kesan sampingan yang mungkin dialami selepas vaksinasi?



  • Kebanyakannya adalah ringan, sementara dan boleh sembuh dalam masa beberapa hari tanpa rawatan.



  • Radang otot jantung (myocarditis) dan radang selaput jantung (perikarditis) adalah kesan sampingan selepas vaksin yang jarang berlaku. Sekiranya anak mengalami kesukaran bernafas, sakit dada dan degupan jantung yang laju, sila segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.

  • Laporkan sebarang kejadian kesan sampingan di aplikasi MySejahtera dan dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan sekiranya gejala kesan sampingan berpanjangan atau semakin teruk.


Apa yang perlu dilakukan jika anak saya mengalami kesan sampingan?


  • Jika anak anda mengalami kesan sampingan seperti sakit di tempat suntikan, demam, sakit badan, anda boleh memberi mereka Parasetamol dengan dos kanak-kanak serta berikan rehat yang cukup. Jika berpanjangan, dapatkan rawatan di klinik berhampiran.


Bagaimanakah cara untuk saya laporkan kesan sampingan atau kesan advers susulan imunisasi (AEFI)?


  • Terdapat 3 pilihan untuk anda lakukannya:

    • Melalui aplikasi MySejahtera.

    • Laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

    • Memaklumkan kepada anggota kesihatan yang merawat kesan sampingan. Anggota kesihatan boleh membantu anda membuat laporan AEFI kepada NPRA




Antara negara yang telah memulakan vaksinasi terhadap kanak-kanak termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Portugal, Kanada, Sepanyol, Itali, Perancis dan Australia. Kesan sampingan AEFI pada kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding remaja.

Dengan lebih 1,000 buah sekolah telah dikenal pasti untuk dijadikan PPV, program vaksinasi PICKids ini dijangka akan diperluas ke seluruh dapat masa beberapa minggu lagi.

Sumber: Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM

Baca juga: