Imej Rasmi Vivo S5 Tampil Dengan Kuad Kamera Belakang

Bagaikan baru semalam Vivo melancarkan Vivo S1 mereka, kini peranti terbaru dalam siri sama bakal muncul dengan nama Vivo S5. Dijadualkan pelancarannya pada 14 November ini di China, imej rasmi peranti tersebut sudahpun dikongsikan pihak pengeluar memperlihatkan tetapan kuad kamera belakang, sedikit berbeza dengan penawaran peranti lain.

Tidak seperti model sebelumnya yang menggunapakai kamera terangkat, Vivo S5 dilihat hadir dengan rekaan punch hole pada bucu kanan paparan manakala dibawah pula disertakan dengan ciri imbasan cap jari. Tiga butang penting yang sering digunakan, butang kuasa dan pelaras kelantangan bunyi disisipkan pada bahagian kanan.



Mata anda pastinya lebih tertumpu pada panel belakang dengan modul kameranya berbentuk segi empat, lain dari yang lain. Difahamkan kombinasi kamera terdiri daripada 48MP, 8MP ultra lebar, 5MP sensor kedalaman serta 2MP lensa makro.

Spesifikasi penuh peranti ini masih belum didedahkan lagi tetapi berdasarkan penyenaraian di TEENA, ia bakal tampil dengan Snapdragon 712, RAM 8GB dipadankan bersama memori simpanan 256GB. Menguasakan peranti pula adalah bateri 4010mAh dan untuk perincian lebih lanjut, kita tunggu perasmian yang berbaki kurang seminggu sahaja lagi.

Sumber: Weibo