Huawei hari ini telah melancarkan telefon boleh lipat terbaharu mereka di bawah nama Xs, iaitu Huawei Mate Xs 2. Telefon ini tidak banyak bawa perubahan berbanding model pertama mereka pada dua tahun lalu.
Telefon baharu tetapi cip pemprosesannya bukanlah terbaru. Ia dikuasakan Snapdragon 888 dengan rangkaian 4G. Seperti anda sudah ketahui, ini satu-satu cara bagi Huawei jika mereka mahu memasarkannya buat pasaran global.
Turut dilengkapi konfigurasi memori 8GB atau 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Bateri sebesar 4880mAh yang memberikan tenaga peranti ini ditemani kelajuan mengecas sehingga 66W.
Seperti terdahulu, Mate Xs 2 mempunyai skrin boleh lipat keluar. Tidak seperti Galaxy Z Fold atau kebanyakan peranti yang sama dengannya.
Apabila dibuka lipatannya, hadir paparan OLED seluas 7.8 inci beresolusi 2480×2200 serta kadar segar semula 120Hz. Sementara apabila dilipat menjadi normal, ia sebesar 6.5 inci dengan resolusi 2480×1176.
Kata Huawei, mereka menggunakan mekanisme engsel yang dikemaskini agar ia menghilangkan kesan lipatan atau crease pada paparannya serta meningkatkan ketahanannya.
Selain itu, struktur paparan baharu ini juga kini disokong pen stylus yang mana ia sudah menjadi satu kewajipan bagi mana-mana peranti boleh lipat terbaru.
Dari segi fotografi, dilengkapi 3 lensa – 50MP utama, 13MP ultra lebar dan 8MP telefoto yang hadir bersama 3x zum optikal, 30x zum digital dan OIS. Manakala 10MP pula ditugaskan untuk lensa swafoto.
Menjalankan sistem operasi HarmonyOS 2, Mate Xs 2 menawarkan tiga pilihan warna, iaitu putih, hitam dan ungu.
Ia dijual pada tanda harga 9999 yuan (~RM6599) bagi varian 8+256GB dan varian paling tinggi 12+512GB pula berharga 12999 yuan (~RM8578). Harga ini sebenarnya sedikit murah jika nak dibandingkan Mate Xs terdahulu dan Mate X2 yang mencecah RM11 ribu.
Sumber: gsmarena, huaweicentral
Baca juga:
-
Dapat Sambutan Di China, HONOR Magic4 Pro Akan Dilancar Di Malaysia Kelak
-
China Dan Singapura Paling Lemah Dalam Keselamatan Data, Malaysia Tidak Tersenarai